Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HIKAM Seru Umat Islam, Rakyat Pertahankan Demokrasi, Sokong Agenda Pembangunan Negara

26/07/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyeru umat Islam dan rakyat untuk bersatu mempertahankan kedaulatan demokrasi, menolak ketidaktentuan politik dan menyokong agenda pembangunan negara berteraskan prinsip keadilan, perpaduan dan keamanan yang menjadi teras Malaysia MADANI.

Sekretariat HIKAM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius perkembangan politik mutakhir yang memperlihatkan usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalan selain daripada proses pilihan raya yang sah.

"Usaha-usaha menggugat kestabilan politik hanya akan mengundang krisis keyakinan, menjejaskan ekonomi dan menambah penderitaan rakyat.

"Islam mengajar agar mengutamakan maslahat ummah dan menolak kerosakan (mafsadah) yang timbul daripada perebutan kuasa tanpa asas demokratik," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Agung Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) Azizuddin Ahmad, Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Mohd Hafiz Abd Hamid, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Aliemran Norasid dan Setiausaha Agung Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) Mohd Sabbri Md Yudin.

Sekretariat itu juga dengan tegas menolak usaha menjatuhkan kerajaan melalui 'pintu belakang', tekanan politik yang tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0 kerana peralihan kuasa hanya wajar berlaku melalui pilihan raya yang adil dan bebas, selari dengan prinsip syura dan suara rakyat.

HIKAM turut menyeru semua parti politik termasuk pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang secara beradab dan bertanggungjawab, serta menyeru semua pihak supaya menumpukan kepada usaha memulihkan dan mereformasi negara bagi memacu Malaysia yang lebih sejahtera.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan