KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan kepercayaan awam di samping memperkukuh kebolehpercayaan serta daya tahan sistem MyDigital ID bagi menggalakkan kadar penggunaan yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan digalakkan untuk tidak melaksanakan pendaftaran mandatori bagi inisiatif pendigitalan itu pada peringkat ini.
Kenyataan itu menekankan keperluan untuk memberi penjelasan kepada orang awam mengenai faedah serta langkah-langkah perlindungan data dalam sistem MyDigital ID sambil mengintegrasikan perkhidmatan yang penting seperti bantuan kewangan, pemfailan cukai, kemasukan ke universiti dan akses kepada penjagaan kesihatan bagi meningkatkan nilai pendaftaran.
“Kita perlu memudahkan kebolehoperasian sistem merentasi kementerian, supaya pengguna benar-benar menikmati pengalaman digital yang lancar, menyediakan pilihan persetujuan yang bermakna termasuk pilihan untuk tidak menyertai perkhidmatan yang tidak penting serta bekerjasama dengan masyarakat sivil dan rangkaian komuniti bagi meningkatkan keterangkuman dan literasi digital,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengerusi SERI Dr Helmy Haja Mydin berkata Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi peneraju dalam tadbir urus digital yang bertanggungjawab, namun menegaskan bahawa perkara ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.
Beliau berkata matlamat utama bukanlah pendaftaran besar-besaran tanpa mengira kesan, tetapi sebaliknya membina satu sistem yang diyakini dan dipilih secara sukarela oleh rakyat.
“Sistem identiti digital boleh membawa banyak manfaat tetapi hanya jika orang ramai yakin bahawa ia selamat, berkesan dan memberi faedah kepada mereka. Pemaksaan sebelum wujudnya keyakinan berisiko merosakkan sistem yang ingin kita bina,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial