Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bekalan Air Mencukupi, Terkawal Di Sarawak - Julaihi

26/07/2025 04:32 PM

SEBUYAU (Sarawak), 26 Julai (Bernama) -- Bekalan air di seluruh Sarawak masih mencukupi dalam menghadapi cuaca kering sekarang, kata Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Julaihi berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga bersama Jawatankuasa Induk Pengurusan Bencana Sarawak memantau sumber bekalan air bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan.

Bagaimanapun, beliau tetap menasihatkan pengguna supaya terus menggunakan air secara berhemah bagi mengelak pembaziran sekali gus menjamin bekalan berterusan di kediaman masing-masing.

"Setakat ini, keadaan masih terkawal dan loji rawatan air di seluruh Sarawak masih mampu membekalkan air kepada pengguna. 

“Namun, sebarang kebocoran sama ada disebabkan pihak ketiga atau faktor keusangan paip, boleh menjejaskan bekalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Petronas Memperkasakan Ilmu Jangkauan Luar MLNG Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau di sini hari ini. 

Julaihi berkata agensi air di bawah kementeriannya seperti Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) telah diarah untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang gangguan yang mungkin berlaku.

"Kita semua bertanggungjawab dalam memastikan sumber air digunakan secara bijak demi kesejahteraan bersama," tambahnya.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menghargai sumbangan Petronas menerusi anak syarikatnya Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) menambah baik kemudahan di SMK Sebuyau bagi keselesaan dan kepentingan pelajar. 

Julaihi berkata sekolah itu dalam keadaan uzur yang memerlukan sekolah gantian penuh segera dan beliau telah dimaklumkan tender bagi pembinaan bangunan baharu telah dianugerahkan bagi membina sekolah gantian penuh di tapak baharu di Bandar Baharu Sebuyau. 

Beliau berkata menerusi program berkenaan selain meluaskan kapasiti pengambilan pelajar asrama melebihi 250 orang setiap tahun, ia turut meliputi kerja membaik pulih kerosakan dalam kelas, menyumbangkan kelengkapan siaraya dan pembelajaran asas seperti meja, kerusi, katil, tilam, serta televisyen pintar dan alat penyaman udara bagi kegunaan hampir 1,000 orang pelajar dengan kos bernilai RM800,000.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan