Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MAIPs Dapat Pengiktirafan IFRC Melalui Projek 'Ndengu Revolution'

26/07/2025 06:02 PM

KANGAR, 26 Julai (Bernama) -- Projek “MAIPs Ndengu Revolution” iaitu sebuah inisiatif pemulihan komuniti oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di wilayah Kitui, Kenya mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC).

MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu atas sumbangan yang bersifat transformatif terhadap kehidupan masyarakat rentan pasca kemarau.

Menurut kenyataan itu pengiktirafan berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Serantau IFRC bagi Benua Afrika Charles Mbeeta Businge dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program 'Safar Ilmi MAIPs 2025' yang berlangsung di Nairobi pada Khamis lepas.

"MAIPs melalui projek Ndengu Revolution telah membangunkan pendekatan pemulihan jangka sederhana dan panjang kepada komuniti yang terjejas akibat kemarau di Kenya.

"Antaranya melalui bantuan benih tanaman kekacang ndengu, input pertanian, sokongan sara hidup dan penguatan kapasiti komuniti. Projek ini tidak hanya menjawab keperluan jangka pendek, tetapi membina daya tahan dan keupayaan kendiri penerima," menurut kenyataan itu.

Usaha MAIPs itu turut didokumenkan dalam beberapa laporan serta jurnal antarabangsa seperti The Transformative Power of International Zakat: How zakat support from Malaysia helped communities in Kenya recover from drought dan Your duty for their dignity: the transformative power of international zakat financing yang diterbitkan IFRC serta diangkat sebagai rujukan dalam wacana filantropi Islam global.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Businge berkata Malaysia menerusi MAIPs membuktikan instrumen zakat boleh berkembang di peringkat antarabangsa dan menjadi pemacu kepada usaha pemulihan dan ketahanan komuniti dalam konteks bencana dan kemiskinan berpanjangan. 

Beliau berkata projek yang bermula sejak 2018 itu sebagai contoh terbaik bagaimana filantropi Islam dapat disepadukan dalam agenda kemanusiaan global dengan penuh profesionalisme dan integriti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan