Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peratusan Permohonan Pekerjaan Bagi Orang Asli Di Semenanjung Konsisten Dari 2019 Hingga 2023

26/07/2025 06:47 PM

GUA MUSANG, 26 Julai (Bernama) -- Jumlah peratusan permohonan pekerjaan bagi Orang Asli di Semenanjung sepanjang tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, konsisten pada kadar 0.3 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata terdapat juga peningkatan jumlah pelantikan Orang Asli ke perkhidmatan awam, iaitu seramai 94 orang bagi tahun 2023 berbanding 45 orang pada 2022.

“SPA sentiasa memberi sokongan, galakan dan panduan kepada komuniti Orang Asli untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta, dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya berucap pada Program Kembara Kerjaya MADANI SPA @ Gua Musang di Dewan Dato' Ariffin Said di sini hari ini.

Ahmad Jailani berkata program itu bertujuan menghubungkan komuniti Orang Asli serta masyarakat luar bandar dengan agensi dan rakan strategik, dalam menyampaikan perkhidmatan terutamanya kepada golongan luar bandar yang menghadapi kekangan akses secara fizikal atau jaringan Internet.

“Pelbagai pengisian diadakan seperti perkhidmatan konsultasi SPA berkaitan pengambilan ke perkhidmatan awam, kesesuaian jawatan yang dimohon, semakan status permohonan dan pendaftaran melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

“Kehadiran pengunjung melebihi sasaran 1,000 orang dan program turut melibatkan 20 penyertaan jabatan dan agensi termasuk PERKESO, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Ahmad Jailani berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan prospek kerjaya dalam sektor awam dapat diakses secara saksama oleh seluruh rakyat di negara ini, tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

“Program ini akan menjadi titik tolak penting dalam usaha menyantuni masyarakat luar bandar dengan membawa perkhidmatan SPA terus kepada rakyat yang memohon pekerjaan dalam sektor awam dan swasta, menjadikan pendekatan ini lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan