LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini menyaksikan ribuan pengunjung hadir pada hari pertama acara itu yang julung kali diadakan di sini.
Bertempat di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, acara yang bertemakan ‘Flora Tropika Borneo’ berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan Majlis Perasmian BFF hari ini.
Hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.
Sebanyak 31 pempamer terlibat dalam festival berkenaan termasuk dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan dengan mempamerkan 12,000 tumbuhan hiasan melibatkan ratusan spesies bunga tropika yang datang dari pelosok tanah air.
Antara pempamer yang terlibat termasuk Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan komuniti seperti Persatuan Wanita Tani Labuan dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Bagi memudahkan pengunjung, pengangkutan awam secara percuma turut disediakan di lima lokasi di sini selain lebih 1,000 sukarelawan ditugaskan membantu pengunjung manakala di tapak festival juga disediakan surau, pusat maklumat dan jualan trak makanan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial