Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bot Nelayan Warnai Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang

27/07/2025 02:51 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini, menandakan permulaan rasmi sambutan Bulan Kebangsaan yang membawa semangat patriotisme merentasi setiap negeri.

Majlis bersejarah itu turut menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, komuniti gig, penggemar permotoran, pasukan keselamatan dan buat julung-julung kalinya melibatkan nelayan tempatan yang membawa Jalur Gemilang menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Sebanyak 59 bot nelayan yang dikemudi oleh komuniti perikanan tempatan, dua bot milik Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (tiga unit), polis marin (dua unit) dihiasi Jalur Gemilang dengan keseluruhan 172 peserta yang terlibat. 

Kehadiran mereka memeriahkan suasana sambutan sekali gus menjadi simbol sokongan masyarakat luar bandar dan pesisir pantai terhadap semangat kemerdekaan negara.

Sementara itu, 88 kenderaan darat turut dilepaskan dalam konvoi melibatkan 133 peserta daripada pelbagai agensi dan pertubuhan seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pos Malaysia, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Johor, Kelab Permotoran BMW K16 Johor dan kenderaan ekonomi gig.

Konvoi ini akan melalui 88 checkpoint, iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) dan dua di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dijadualkan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Turut hadir sewaktu pelepasan konvoi ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Majlis peluncuran yang diserikan dengan pelbagai program termasuk Karnival Kita MADANI turut menampilkan pelbagai pengisian berunsurkan komuniti dan kekeluargaan seperti pertandingan mewarna dan Bintang Suara MADANI, persembahan kesenian dan aktiviti kebudayaan tempatan.

Reruai usahawan Komuniti MADANI yang menghimpunkan peniaga mikro dan kecil dari seluruh negara, Program Jualan Rahmah MADANI serta reruai perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta turut disediakan untuk orang ramai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan