Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kanak-Kanak Enam Tahun Cipta Rekod Kenal Pasti 65 Mata Wang Dalam Seminit

27/07/2025 06:34 PM

SEREMBAN, 27 Julai (Bernama) -- Siapa sangka, pada usia enam tahun seorang kanak-kanak lelaki D. Devakshean berjaya mencipta sejarah dengan kepintaran luar biasanya mengenal pasti 65 mata wang pelbagai negara dalam satu minit.

Berdasarkan kebolehan unik itu, namanya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi pencapaian Mata Wang Asing Terbanyak Dikenal Pasti oleh Seorang Kanak-Kanak dalam Satu Minit

Ibunya G. Devamalar, 37, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata Devakshean mula menunjukkan minat terhadap bendera negara sejak berusia setahun apabila dia boleh mengenal pasti dan menyebut bendera Malaysia dengan tepat.

“Sejak kecil memang nampak kebolehan luar biasanya. Bila tunjuk gambar atau bendera, dia cepat ingat. Jadi, daripada situ kami mula latihnya dan pada usia dua tahun dia mencipta rekod dengan mengenal pasti lebih 200 negara dan bandar.

“Daya ingatannya memang luar biasa, apa sahaja kami tunjuk dia boleh ingat tidak hanya bendera dan nilai mata wang asing tetapi banyak lagi, dia boleh tangkap dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sijil penghargaan untuk pengiktirafan berkenaan daripada wakil MBR V. Menaga kepada Devakshean di sini hari ini.

Devamalar berkata beliau dan suami A. Devakumaran, 41, sentiasa menyokong segala perkembangan dan minat anak tunggalnya itu selain menyatakan mengambil masa sebulan sebagai persediaan melatih Devakshean sebelum memohon untuk MBR pada tahun ini.

“Anak saya suka tengok YouTube. Jadi, kami muat naik bahan-bahan seperti senarai mata wang asing dan sebagainya ke YouTube dan dia belajar sendiri melalui platform itu. Dia jarang bermain, dia suka baca buku dan belajar sendiri itu memang tabiatnya, kami tak pernah paksa, itu memang minat dia,” katanya.

Devamalar turut berharap pencapaian luar biasa anaknya itu dapat membuka lebih banyak peluang lain termasuk menyertai Guinness World Records selain melihat potensi lain yang boleh dikembangkan pada masa akan datang.

“Sekarang ini orang ramai belum kenal dia. Saya harap melalui hebahan media ini, lebih ramai tahu tentang dia dan dia dapat peluang ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Devakshean yang dilahirkan pada 10 Sept 2019 berkata dia sangat menyukai bendera Malaysia dan subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains selain bercita-cita menjadi seorang anggota bomba.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan