Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kejayaan Malaysia sebagai pengantara dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja sehingga membawa kepada persetujuan melaksanakan genjatan senjata di kawasan sempadan yang dipertikai, membuktikan kemampuan serta kredibiliti negara selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Pendekatan Malaysia yang bersifat berkecuali namun konstruktif telah membolehkan dua negara jiran itu mencapai titik persefahaman melalui saluran diplomasi yang harmoni dan saling menghormati selaras dengan prinsip penyelesaian serantau yang digariskan oleh ASEAN.
Pendekatan penuh diplomasi dan pragmatik yang digerakkan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memperkukuh kedudukan negara sebagai pemudah cara yang diyakini dalam berdepan isu serta konflik serantau.
Pakar Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi berkata kepercayaan negara jiran terhadap Malaysia itu mencerminkan reputasinya sebagai negara yang mengamalkan pendekatan sederhana, tidak bersifat konfrontasi dan pragmatik dalam hubungan antarabangsa.
Beliau berkata dalam konteks ASEAN, Malaysia sering dilihat sebagai negara yang bersedia memainkan peranan 'pemudah cara' berbanding menjadi pendesak dan itu menjadikannya lebih mudah diterima oleh pihak-pihak yang bertelagah.
“Kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memberi kelebihan moral dan simbolik kepada Malaysia. Apa yang penting di sini ialah Malaysia menggunakan ruang sebagai Pengerusi ini dengan lebih kreatif, bukan sekadar menjadi hos mesyuarat tetapi betul-betul bertindak sebagai pemudah cara.
“Kepercayaan itu hadir apabila Malaysia dilihat sudi ambil risiko diplomatik untuk menjernihkan keadaan,” katanya kepada Bernama.
Jelas beliau, pendekatan Anwar juga dilihat membawa nafas baharu dalam dasar luar dengan keberanian bersuara serta lebih responsif terhadap krisis dan isu Thailand-Kemboja menyaksikan Malaysia memainkan peranan aktif, cepat bertindak dan bukan sekadar memberi kenyataan kosong.
Beliau berkata kejayaan itu membuka ruang untuk Malaysia menjadi lebih relevan dalam diplomasi serantau dan keupayaan mengekalkan momentum tersebut pula bergantung kepada kemampuan kerajaan menginstitusikan pendekatan berkenaan sebagai dasar yang berakar dan mampan, bukan sekadar reaksi terhadap krisis semasa.
“Kalau Malaysia dapat kekalkan momentum ini, ia beri satu naratif baharu bahawa kita bukan sekadar ‘penjaga proses’ tetapi juga ‘pemacu penyelesaian’. Ini penting kerana selepas tamat tempoh sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia masih perlu buktikan bahawa kita relevan dan konsisten dalam pendekatan serantau.
“Jika kejayaan mediasi ini dijadikan batu loncatan untuk penglibatan lebih mendalam dalam isu-isu lain seperti Myanmar atau Laut China Selatan maka Malaysia boleh membina kredibiliti jangka panjang sebagai negara yang bukan sahaja bercakap tentang keamanan tetapi bekerja ke arahnya,” katanya.
Dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini, Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet mencapai kata sepakat iaitu melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat, berkuat kuasa tengah malam ini.
Turut hadir Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, dengan AS bertindak selaku penganjur bersama manakala China sebagai pemerhati.
Jumaat lepas, Anwar yang menghubungi Phumtham dan Manet secara berasingan memohon kedua-dua pemimpin segera melaksanakan gencatan senjata serta kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan pertikaian mereka dan semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju memilih Malaysia sebagai ‘orang tengah’ atau pengantara bagi rundingan itu.
Sementara itu, penganalisis politik antarabangsa Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan keupayaan Malaysia sebagai pemudah cara dalam pelbagai konflik serantau dengan pendekatan bersifat berkecuali, konstruktif dan menghormati kedaulatan negara terbabit menjadikan negara ini pilihan utama apabila timbul keperluan untuk mencari jalan damai antara pihak bertelagah.
Profesor Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (COLGIS-UUM) itu berkata pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia tidak berlaku secara tiba-tiba sebaliknya dibina melalui komitmen diplomatik yang konsisten dan berprinsip sejak sekian lama dalam menangani isu serantau.
“Malaysia sebelum ini telah berjaya memudah cara rundingan damai antara kumpulan Moro dan Kerajaan Filipina di selatan Filipina. Kita juga memainkan peranan penting dalam konflik antara Kerajaan Thailand dan pihak di selatan Thailand.
“Maka tidak hairanlah kini sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sekali lagi diberi peranan besar untuk memudah cara rundingan antara Kemboja dan Thailand … ini satu langkah penting ke arah perdamaian dan kestabilan serantau serta tanda kepercayaan rakan serantau terhadap Malaysia,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan BernamaTV hari ini.
Pada sidang media selepas mesyuarat khas itu, Kemboja dan Thailand merakamkan penghargaan kepada Malaysia serta memuji peranan pentingnya dalam meredakan konflik dan memastikan gencatan senjata segera antara kedua-dua negara malah Manet turut menyifatkan mesyuarat khas tersebut, yang dihoskan oleh Anwar, sebagai 'segera dan tepat pada masanya.'
Media sebelum ini melaporkan tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan sempadan yang dipertikai dengan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara dua negara jiran di Asia Tenggara itu memuncak susulan insiden berdarah di kawasan sempadan Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial