Ad Banner
 AM > BERITA

Program Komunikasi USM Disenarai Antara Terbaik Edurank 2025

29/07/2025 08:32 PM

GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Program komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM) disenaraikan antara yang terbaik dalam EduRank 2025.

Pusat Media dan Perhubungan Awam USM memaklumkan kejayaan itu membuktikan bahawa universiti berkenaan bukan sahaja unggul dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga dalam sains sosial dan sastera.

"Hal ini mengukuhkan falsafah bahawa sains sosial dan sastera turut memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan, bukan sekadar pelengkap kepada bidang sains tetapi sebagai penggerak arus pemikiran masyarakat yang membentuk wacana, persepsi dan tindakan di peringkat nasional dan global,” menurut Pusat Media dan Perhubungan Awam USM dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, EduRank ialah satu sistem penarafan bebas berasaskan metrik yang menilai 14,131 universiti daripada 183 negara.

Penilaian keseluruhan EduRank berpandukan tiga komponen utama merangkumi kekuatan akademik, bukan akademik serta alumni iaitu 45 peratus prestasi penyelidikan, keterlihatan bukan akademik (45 peratus) dan 10 peratus skor alumni.

Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dalam kenyataan sama menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan itu dan memaklumkan kejayaan berkenaan adalah hasil usaha pensyarah, pentadbir, pelajar, alumni serta rakan strategik industri.

Beliau berkata pengiktirafan itu membuktikan USM bukan sahaja melahirkan saintis dan penyelidik hebat, malah pemimpin masyarakat dalam bidang komunikasi dan media.

Dekan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) Prof Madya Dr Bahiyah Omar pula menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil bersepadu yang dicapai melalui komitmen, dedikasi dan kerjasama erat pelbagai pihak.

“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh program akademik serta memperluas jaringan penyelidikan dan kolaborasi di peringkat global,” katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan