Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mesyuarat Khas Bincang Penambahbaikan Liputan Telekomunikasi Di Lebuh Raya - Nanta

29/07/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Satu mesyuarat khas telah diadakan bagi membincangkan usaha menambah baik liputan telekomunikasi dan Internet di lebuh raya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata mesyuarat itu, yang turut melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil,  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), diadakan susulan liputan Internet serta panggilan terputus yang sering dihadapi oleh pengguna lebuh raya.

“Setakat ini, kira-kira 50 kilometer jajaran lebuh raya telah dikenal pasti tidak mendapat liputan telekomunikasi termasuk beberapa bahagian di Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Barat dan Lebuhraya Pantai Timur 2,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.

Nanta berkata mesyuarat turut mencapai beberapa keputusan utama antaranya Penubuhan Pasukan Petugas Khas LLM-MCMC untuk menyelaras pelan tindakan secara menyeluruh serta mengenal pasti lokasi kritikal panggilan terputus dan meneliti keperluan pemasangan infrastruktur telekomunikasi.

Beliau berkata konsesi lebuh raya turut akan digerakkan bagi melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan panjang manakala LLM Wilayah dan MCMC negeri sudah turun padang untuk melakukan semakan tapak serta kemudahan bekalan kuasa bagi pemasangan infrastruktur sokongan.

Nanta turut mencadangkan agar MCMC dilibatkan secara langsung membantu menangani gangguan frekuensi dan menyokong keperluan teknikal untuk pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) iaitu kutipan tol tanpa perlu berhenti.

“Isu ini tidak boleh dipandang ringan... dalam dunia serba digital, akses kepada rangkaian Internet dan telekomunikasi bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan asas termasuk ketika berada di lebuh raya… komitmen kita jelas, bukan sahaja membina jalan raya tetapi juga memastikan rakyat sentiasa terhubung dengan lancar dan selamat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan