Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Perpaduan Negara Cadang Wujud Pangkalan Data Sepadukan Input Seluruh Muzium

30/07/2025 12:33 AM

ALOR SETAR, 29 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara mencadangkan satu Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Malaysia diwujudkan sebagai sistem digital terpusat yang menyepadukan input daripada semua muzium peringkat persekutuan, negeri, institusi dan swasta.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata cadangan itu bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi juga strategik kerana akan memastikan pemeliharaan warisan negara lebih tersusun dan selamat.

“Ia (pangkalan data) juga akan membolehkan inventori koleksi diselaras dan dikemas kini secara berkala serta menyokong usaha pendigitalan warisan.

“Tanpa mengira sempadan pentadbiran atau latar belakang institusi, kita bersatu dalam satu misi luhur memelihara identiti sejarah negara, menghidupkan semula memori kolektif bangsa, dan memastikan khazanah silam ini terus menyinari jalan ke masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di sini malam ini.

Aaron berkata pada masa ini terdapat 232 muzium di seluruh negara merangkumi 22 muzium persekutuan di bawah Jabatan Muzium Malaysia, 63 muzium agensi atau institusi, 103 muzium negeri dan wilayah serta 44 muzium swasta.

Bagaimanapun, setakat ini rekod koleksi artifak diurus dan disimpan secara berasingan mengikut agensi dan negeri masing-masing.

Hal berkenaan, katanya menyebabkan tiada gambaran menyeluruh tentang jumlah sebenar artifak dan khazanah warisan negara yang berada dalam simpanan muzium-muzium di Malaysia.

“Kementerian Perpaduan Negara bersedia memimpin langkah ini bersama Jabatan Muzium Malaysia, disokong oleh jaringan rakan strategik daripada muzium negeri dan kerajaan tempatan, hingga ke institusi pengajian tinggi dan pemain industri swasta.

“Dengan usaha sama yang kukuh, kita bukan sahaja memelihara warisan kita, malah membina jambatan penyatuan, menyemai kefahaman dan memperkukuh akar sebuah negara bangsa yang majmuk dan harmoni,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan