Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NiGEN 2025 Perkukuh Pengurusan Air Bawah Tanah Negara

29/07/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Program National Integrated Groundwater Network (NiGEN) 2025 merupakan inisiatif strategik bersepadu untuk memperkukuh pengurusan dan pembangunan sumber air bawah tanah negara secara mampan berasaskan data saintifik, kata Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Datuk Zamri Ramli.

Beliau berkata usaha berkenaan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan keselamatan bekalan air negara dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

Zamri berkata NiGEN 2025 yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JMG adalah platform libat urus strategik dengan menghimpunkan pihak berkepentingan industri berkaitan air bawah tanah bagi memupuk kolaborasi pintar.

“NiGEN 2025 juga menjadi medan pemindahan ilmu, perkongsian teknologi pemantauan canggih serta pelaporan kemajuan projek perintis pemetaan dan pembangunan sumber air bawah tanah di Kedah (PABT Kedah),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan NiGEN 2025 mendukung prinsip keterangkuman, tadbir urus baik dan kemampanan yang menjadi teras Malaysia MADANI, selaras dengan dasar semasa kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Selain itu, katanya program itu menepati Dasar Sumber Air Negara (DSAN) dan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) yang menekankan penggunaan data saintifik serta teknologi digital selain menyokong Agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam melalui penggunaan MyGovCloud dalam sistem pemantauan sumber air bawah tanah.

“Program ini turut menjadi ruang bagi mendapatkan maklum balas industri dan pihak berkepentingan, yang akan menjadi asas penambahbaikan polisi, pelaksanaan projek dan tadbir urus sektor air negara pada masa hadapan.

“Dengan penyertaan pakar hidrogeologi antarabangsa, NiGEN 2025 turut membuka peluang perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan sumber air bawah tanah di peringkat global dan tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Zamri berkata antara impak utama yang disasarkan melalui NiGEN 2025 adalah memperluas jaringan pemantauan kebangsaan sumber air bawah tanah dan menyediakan data berkualiti tinggi bagi menyokong dasar keselamatan air negara.

Beliau berkata ia juga bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca, menjamin akses air bersih dan mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar serta memperkasakan kapasiti teknikal dan inovasi dalam bidang hidrogeologi negara.

“NRES dan JMG komited untuk memperluas projek pemetaan sumber air bawah tanah ke negeri lain seperti Melaka dan Sabah dalam usaha mewujudkan sistem pengurusan sumber air negara yang lebih menyeluruh, telus dan responsif.

“NiGEN 2025 mencerminkan iltizam kerajaan dalam meletakkan asas kukuh bagi menjamin kelestarian sumber air negara, sejajar dengan semangat Malaysia MADANI untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan