Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Terbabit Pergaduhan, Empat Murid Digantung Sekolah - Fadhlina

30/07/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Empat murid digantung sekolah manakala 14 lagi diberi surat amaran selepas terbabit dalam insiden pergaduhan di sebuah sekolah yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan tegas itu diambil selaras dengan prosedur disiplin ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Saya hadir ke sekolah berkenaan pagi ini untuk mendapatkan maklumat penuh berkenaan kejadian dan tindakan yang telah diambil. Empat murid terlibat akan digantung sekolah, manakala 14 lagi diberi surat amaran,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata murid yang dikenakan tindakan gantung akan mengikuti program khidmat masyarakat di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah sebagai langkah pemulihan.

Selain itu, sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi bagi membimbing murid terlibat supaya dapat mengubah tingkah laku menerusi penerapan nilai-nilai murni.

Fadhlina turut menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dalam isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan.

“Langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi memastikan ekosistem sekolah kekal selamat dan sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan