LABUAN, 30 Julai (Bernama) -- Perhimpunan aman ‘Turun Anwar’ yang dianjurkan oelh pemimpin dan penyokong pembangkang baru-baru ini di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur disifatkan sebagai bukti kukuh terhadap ketahanan dan kematangan landskap demokrasi Malaysia.
Ribuan orang hadir bagi menyatakan solidariti serta meluahkan pandangan dan kebimbangan politik mereka dalam perhimpunan yang berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini di bawah pemantauan rapi agensi penguat kuasa undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang memuji perjalanan aman perhimpunan itu, berkata ia mencerminkan kekuatan prinsip demokrasi di Malaysia.
“Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh pembangkang membuktikan bahawa demokrasi kita masih utuh. Rakyat Malaysia menggunakan hak mereka dalam ruang lingkup undang-undang dan perkara itu harus dihormati,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Festival Flora Borneo 2025 di sini hari ini.
Beliau juga berkata perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi yang sihat namun apa yang lebih penting ialah keupayaan rakyat meluahkan kebimbangan melalui saluran yang aman dan sah di sisi undang-undang.
“Inilah tahap kematangan politik yang kita harap dapat terus dipupuk bagi mengekalkan ketenteraman awam sambil memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan perbezaan pendapat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial