KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan Reformasi Pembersihan Awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai satu perubahan besar dalam landskap pengurusan pembersihan negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata antara pembaharuan utama bakal dilaksanakan termasuklah inisiatif jalan tanpa habuk, penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi kerja-kerja pembersihan di waktu malam, serta pengenalan Single Window Payment Monitoring System.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan RMK13 di Parlimen esok dan menerusi RMK13, beberapa tonggak utama (diumumkan) antaranya termasuk Reformasi Pembersihan Awam.
“Saya percaya bahawa dengan peredaran teknologi, sektor pembersihan juga perlu mengadaptasikan pengunaan teknologi terkini yang dapat meningkatkan kecekapan serta keberkesanan pelaksanaan tugasan harian,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2025, di sini hari ini.
Majlis itu dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai penghargaan kepada sumbangan dan pengorbanan pekerja pembersihan, dalam memastikan kebersihan dan keharmonian kawasan persekitaran.
Nga turut menyarankan agar sambutan tersebut dijadikan sebagai acara tahunan bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan pekerja pembersihan di negara ini.
Beliau berkata tugas pekerja pembersihan, satu khidmat mulia dan menyeru masyarakat mengubah persepsi serta memberi penghormatan setimpal kepada sektor berkenaan.
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda serta perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam.
“Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia agar lebih bertanggungjawab dalam soal kebersihan bukan kerana takut dihukum, tetapi kerana cintakan negara. Marilah kita bersama-sama memupuk rasa tanggungjawab sesama sendiri demi masa depan yang lebih bersih, sihat dan sejahtera,” katanya.
Pada majlis itu SWCorp menerima sijil The Malaysia Book Of Records (MBOR) atas pengiktirafan terhadap arca Struktur Burung Terberat daripada Bahan Kitar Semula.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha SWCorp untuk memupuk kesedaran terhadap kelestarian melalui seni dan penggunaan semula bahan buangan.
Arca ikonik berkenaan kini dipasang pada bangunan di Kuantan Art Street, sekali gus menjadikannya simbol inovasi hijau yang menonjol dalam landskap bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial