KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan menggariskan dua strategi dalam usaha memantapkan pengurusan bencana iaitu meningkatkan kecekapan tadbir urus, perancangan dan penyelarasan mitigasi bencana serta meningkatkan kesiapsiagaan agensi keselamatan dalam mengurus bencana.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi hari ini, kerajaan turut mengenal pasti empat sasaran dalam memantapkan pengurusan bencana melibatkan pembangunan dasar pengurangan risiko bencana di semua negeri.
Selain itu, menggubal enam Bilangan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana, menyemak semula tujuh Bilangan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana dan meningkatkan Sistem Amaran Awal Meteorologi untuk Semua daripada enam kepada 10 jenis bencana.
Dokumen itu memaklumkan peningkatan tahap kesiapsiagaan dan kepantasan tindak balas melalui pengukuhan tatakelola akan meningkatkan keyakinan rakyat serta komuniti perniagaan bahawa keselamatan diri dan harta mereka sentiasa dilindungi.
Menerusi strategi pertama, dokumen itu menyebut pengurusan risiko bencana akan dilaksana melalui pemantapan dasar, strategi dan tatakelola serta penggunaan teknologi termaju, pelaksanaan Dasar Pengurangan Risiko Bencana akan diperluas ke peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan sebagai panduan dalam pengurusan risiko bencana.
Menurut dokumen itu, tatakelola Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara termasuk garis panduan akan ditambah baik untuk mempercepat proses pengendalian pascabencana.
"Penyelesaian berasaskan alam semula jadi akan digunakan untuk mengurangkan impak bencana, pemetaan geologi dan utiliti bawah tanah akan dipergiat dan Sistem Amaran Awal Meteorologi untuk Semua ditambah baik bagi mempertingkat kesiapsiagaan negara menghadapi bencana," katanya.
Melalui strategi kedua, dokumen itu menyatakan keseluruhan ekosistem termasuk prosedur operasi standard, kesiapsiagaan petugas, pemodenan aset dan program sokongan akan diperkemas bagi meningkatkan penyelarasan dalam kalangan semua agensi berkaitan.
Di samping itu, latihan bersama melibatkan pelbagai agensi akan dipergiat bagi memastikan respons yang pantas dan bersepadu manakala permodenan aset juga akan diteruskan bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan operasi selain reka bentuk infrastruktur awam terpilih akan disesuaikan sebagai pusat perlindungan bencana pelbagai guna.
Dokumen itu turut memaklumkan sepanjang RMK12, usaha yang diambil bagi mempertingkat daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana telah membantu rakyat untuk lebih bersedia mendepani situasi di luar jangka.
"Sistem amaran meteorologi telah ditambah baik dalam usaha menyediakan maklumat amaran cuaca lebih awal kepada semua pihak berkepentingan.
"Seramai 577,107 ketua isi rumah juga menerima Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM578.4 juta akibat bencana seperti banjir, tanah runtuh dan insiden kepala air dalam tempoh 2021 hingga 2024,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial