Ad Banner
 AM > BERITA

Tadbir Urus TVET Diperkukuh, Kadar Bekerja Graduan Lebih 95 Peratus

31/07/2025 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Tadbir urus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkukuh menerusi penubuhan suruhanjaya khas bagi mengawal selia institusi berkaitan serta memantau strategi dan inisiatif di bawah Dasar TVET Negara.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, kajian mengenai penggubalan akta TVET juga akan dilaksanakan bagi menambah baik tatakelola pendidikan berasaskan kemahiran itu. 

“Peluasan tahap pensijilan kemahiran di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia akan dilaksanakan melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 bagi memartabatkan TVET sebagai laluan yang setara dengan laluan akademik dalam sistem pendidikan tinggi negara.

“Selain itu, sistem penarafan institusi TVET akan dibangunkan bagi memastikan kualiti program selaras dengan keperluan industri serta agihan peruntukan yang optimum,” menurut dokumen itu. 

Dokumen itu juga menyatakan bahawa program TVET akan terus diperkukuh selaras dengan keperluan industri dan penawaran program berkenaan mengambil kira pelaburan berasaskan industri pertumbuhan dan nilai yang tinggi (HGHV) serta sektor strategik dan teknologi termaju.

“Usaha ini akan menyokong keperluan pembangunan bakat yang diperlukan di kawasan pelaburan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

“Kerjasama antara institusi TVET awam dan industri akan dipergiat melalui perkongsian kepakaran dan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan kurikulum serta program peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula tenaga pengajar TVET,” menurut dokumen itu. 

Dokumen itu juga menyatakan penawaran program TVET akan diperluas kepada pelajar tahfiz dan huffaz bagi memartabatkan TVET sebagai platform tahfiz. 

Sementara itu, pembelajaran sepanjang hayat (PSH) akan diperkukuh sebagai persiapan menghadapi negara tua menjelang 2043, dengan progam PSH untuk warga usia era ketiga ini ditawarkan melalui konsep Universiti Era Ketiga.

“Bagi mengoptimumkan penggunaan sumber, kemudahan awam seperti pusat sukan dan perpustakaan turut digunakan untuk pelaksanaan PSH termasuk pembelajaran secara kendiri atau sesama rakan sebaya.

“Selain itu, tadbir urus berkaitan PSH akan ditambah baik bagi mengarusperdanakan PSH sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara,” menurut dokumen tersebut. 

Mengenai pencapaian RMK12, dokumen itu menyatakan pada tahun lepas kadar bekerja graduan mencapai 92.5 peratus manakala kadar bekerja graduan TVET mencapai 95.6 peratus.

Selain itu, Majlis TVET Negara diperkukuh untuk bertindak sebagai penyelaras tunggal dalam pembangunan bakat TVET sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI. 

"Dasar TVET Negara 2030 telah diperkenalkan pada 2024 dalam usaha untuk memperkukuh ekosistem TVET dan memastikan institusi TVET menawarkan program yang memenuhi keperluan industri. 

“Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia telah dibangunkan untuk mengintegrasikan data TVET merentasi pelbagai kementerian serta membolehkan permohonan kemasukan pelajar diselaraskan melalui satu saluran dan penarafan tunggal program TVET dilaksanakan,” menurut dokumen itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan