Ad Banner
 AM > BERITA

Kapten Kapal Layar Daisy Ditemukan Selamat - Polis

01/08/2025 12:21 AM

KUALA TERENGGANU, 31 Julai (Bernama) -- Setelah terapung lebih 40 jam, kapten kapal layar Daisy ditemukan selamat malam ini, selepas kapal layar itu karam di perairan Pulau Yu, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata Ahmet Volkan Ata, 52, warga Turkiye, ditemukan pada 9.45 malam oleh bot nelayan pada kedudukan tujuh batu nautika dari Pulau Yu.

“Mangsa (Ata) kini dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini. Mangsa stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun akan menjalani pemeriksaan lanjut di bahagian dalaman badan kerana berada lama dalam air,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata seorang penumpang kapal layar itu iaitu Eser Demirkol, juga warga Turkiye masih hilang.

Azli dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kedua-dua mangsa bersama seorang lagi penumpang kapal iaitu Ates Demiroren merupakan peserta pelayaran dari Turkiye yang merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka.

Bagaimanapun pada 2.30 petang Selasa, kapal layar itu dilanda ribut dan karam di perairan Pulau Yu.

Demiroren dijumpai selamat dalam keadaan terapung di perairan itu oleh nelayan tempatan tengah hari tadi dan telah dibawa ke Jeti Pulau Duyung di sini, sebelum dihantar ke balai polis.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan