PADANG BESAR, 2 Ogos (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bukan sekadar berperanan merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar, malah turut membantu usahawan meningkatkan pendapatan menerusi bimbingan kemahiran mengendalikan platform media sosial dengan lebih efektif.
Dua usahawan di Perlis yang ditemui Bernama mengakui NADI banyak membantu mereka menguasai teknik pemasaran digital serta kemahiran lain berkaitan perniagaan mereka.
Nurul Sakinah Ikhsan, 30, dari Felda Rimba Mas yang menjual makanan sejuk beku corndog iaitu sejenis sosej dan tepung bancuhan premium buatan sendiri sejak 2023 berkata beliau mempelajari teknik menggunakan 'beg kuning' di TikTok selepas mengikuti kursus anjuran NADI Felda Rimba Mas tahun lepas.
"Sekitar Ogos 2024, saya membuka 'beg kuning' di TikTok untuk perniagaan 'Dapur Maksu' bagi menjual tepung bancuhan corndog. Tidak disangka, dalam tempoh empat bulan, jualan meningkat dengan ketara," katanya.
Nurul Sakinah yang menghasilkan pelbagai pilihan adunan tepung corndog sejuk beku berkata selain menggunakan TikTok sebagai platform pemasaran digital, platform itu juga menjadi medium untuk mempromosikan produknya kepada orang ramai sekali gus mendorong dirinya dalam menguasai teknik penggunaan media sosial dengan cekap dan berkesan.
“Di ‘beg kuning’ saya hanya jual tepung bancuhan corndog berharga RM15.90 sebungkus yang boleh dipos ke seluruh Malaysia, manakala corndog sejuk beku ini pula saya tak pos, kebanyakan pelanggan datang sendiri ke tempat saya di Felda Rimba Mas ini selepas mereka tengok dalam TikTok.
“Pelanggan saya dari jauh yang pernah datang membeli corndog sejuk beku jualan saya ini antaranya dari Pahang dan Melaka. Corndog sejuk beku ini saya boleh pos kepada pelanggan tetapi risiko kerosakan atas tanggungjawab mereka sendiri, dalam tempoh tiga hari ia masih boleh tahan,” katanya yang menjual corndog pada harga RM1 sebatang.
Beliau yang mempunyai Diploma Pengurusan Hotel berkata pihak NADI Felda Rimba Mas turut membantunya menyediakan reka bentuk pelekat untuk bungkusan produk tepung bancuhan corndog buatan sendiri itu.
“Perkhidmatan NADI ini sangat membantu usahawan muda seperti saya dengan memberikan bimbingan dan latihan bersesuaian bagi menjual produk selain membantu menjana dan berkongsi idea bagi melariskan perniagaan saya ini,” katanya.
Sementara itu, Najwa Azhar, 33, pengusaha kedai kek dan roti Mama Nory di Kangar berkata kursus multimedia NADI PPR Seri Sena pada 2019 membantunya mempelajari teknik pemasaran dalam talian yang kreatif dan efektif untuk pemasaran produk.
"Sejak 2018, saya mengenali NADI. Kursus ini mengajar saya cara mengambil dan mengedit gambar produk dengan lebih menarik untuk dipromosikan di Facebook dan Instagram. Ia memberi impak besar dalam menarik pelanggan," katanya yang mengakui soft skills atau kemahiran insani dalam pemasaran digital amat penting untuk menarik minat pelanggan.
“Apabila saya tahu cara betul ambil dan edit gambar ia jadikan produk saya nampak elok apabila dimasukkan dalam Facebook mahupun Instagram (IG)," katanya sambil menambah imej yang lebih baik menarik perhatian pelanggan untuk membeli produknya.
Najwa, yang menjalankan perniagaan bersama ibunya, Norida Ismail, 68, sejak 2015, berkata kemahiran tersebut sangat berguna terutamanya semasa pandemik COVID-19 pada 2020 yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksanya lebih aktif menggunakan media sosial sebagai medium jualan.
"Pihak NADI PPR Seri Sena masih mengekalkan hubungan dengan saya, kadang-kadang ada wakil NADI datang ke kedai saya dan kami saling bertukar pandangan. Mereka juga menawarkan pelbagai kursus lain namun atas kekangan masa, saya tidak dapat menyertainya. Satu-satunya kursus yang sempat saya hadiri ialah kursus masakan secara dalam talian," jelasnya.
Najwa yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik Pengurusan berkata NADI antara pusat rujukan terbaik yang boleh membantu golongan muda memulakan perniagaan dalam pemasaran digital kerana pihak mereka sangat membantu selain memberikan tunjuk ajar.
Berdasarkan laman web https://www.nadi.my/infonadi/, NADI merupakan inisiatif yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dan antara objektif penubuhannya termasuk menyediakan capaian internet secara kolektif kepada komuniti khususnya di luar bandar serta merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial