Ad Banner
 AM > BERITA

ATM Mudah Cara Mesyuarat GBC Thailand–Kemboja Di Kuala Lumpur

02/08/2025 10:56 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memudah cara Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini.

Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat GBC itu diadakan bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lepas.

"Malaysia ialah lokasi berkecuali yang dipersetujui secara bersama oleh Thailand dan Kemboja untuk Mesyuarat GBC kali ini. Terma Rujukan (ToR) penempatan Atase Pertahanan sebagai pasukan interim serta penempatan Kumpulan Pemantau ASEAN akan menjadi sebahagian daripada agenda GBC," menurut kenyataan itu hari ini.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam, 28 Julai, dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia, yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.

 Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersama-sama bersetuju terhadap perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu ketegangan meningkat.

Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, yang beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.

Ketegangan memuncak pada 28 Mei apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear, menyebabkan seorang tentera Kemboja terkorban.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan