Ad Banner
 AM > BERITA

Buah Tin 'Kayangan' Machang Tambat Hati Pelanggan Tempatan, Antarabangsa

02/08/2025 12:01 PM

MACHANG, 2 Ogos (Bernama) -- Bermula dengan hanya lima anak pokok dan modal sekitar RM500, Nur Taufiq Yusuf, 35, kini mampu tersenyum puas melihat deretan pokok tin miliknya yang berbuah lebat bukan sahaja menambat hati pelanggan tempatan malah turut mendapat perhatian pelancong luar negara. 

Bagi lepasan Reka Bentuk Grafik Politeknik Ibrahim Sultan, Johor itu, setiap biji buah tin daripada varieti Masui Dauphine (MDA) dan Constantine De Algerie (CDA) itu bukan sekadar hasil tani biasa tetapi lambang keberanian dan kesungguhan untuk keluar daripada zon selesa.

“Sebelum ini saya tanam anggur, tapi lepas nampak hasilnya positif, saya tekad cuba tanam buah tin pula. Permintaan tinggi dan harganya pun premium. Tak sangka percubaan pertama dengan lima anak pokok ini membuahkan hasil,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di kebun anggur dan tin miliknya di Kampung Batu 31, di sini.

Lebih dua tahun berlalu, Nur Taufiq kini memiliki hampir 400 pokok tin dan hasilnya semakin mendapat perhatian bukan sahaja dari pelanggan tempatan bahkan pelanggan antarabangsa termasuk dari Jepun, Kanada, Arab Saudi, England dan Singapura.

“Buah tin CDA ni lebih besar, kulit kuning dan ada rasa manis yang berbeza, sebab itu pelanggan gelar ‘buah kayangan’.

Menurutnya, pokok CDA agak sukar dijaga berbanding MDA selain berbeza harga iaitu CDA boleh mencapai RM100 sekilogram manakala MDA sekitar RM60 sekilogram.

"Setiap biji buah tin boleh mencecah berat antara 80 hingga 120 gram. Bukan sekadar cantik di mata, buah ini kaya antioksidan, vitamin A, kalsium, zat besi, potasium dan serat menjadikannya rebutan ramai yang mahukan gaya hidup sihat," katanya.

Uniknya, pelanggan serta pelancong yang datang ke kebunnya bukan sekadar membeli, mereka juga boleh merasai sendiri pengalaman memetik buah tin segar dari pokok, kata Nur Taufiq.

“Setiap hari pokok-pokok ini boleh hasilkan hingga 30 kilogram buah tin. Tapi saya hadkan jualan iaitu dua pek seorang, setiap pek lebih kurang 280 hingga 300 gram, dijual pada harga RM20,” katanya.

Selain buah segar, Nur Taufiq juga kreatif mempelbagaikan produk antaranya jus segar buah tin dijual RM10 sebotol dan anak pokok tin dijual antara RM50 hingga RM80 setiap satu.

“Lepas ni saya nak tambah lagi 500 anak pokok untuk penuhi permintaan. Saya juga rancang hasilkan jem buah tin supaya lebih banyak pilihan produk hiliran,” katanya.

Cuaca panas hampir sepanjang tahun di Malaysia pula seolah-olah ‘mengizinkan’ tanaman tin terus subur.

“Pokok tin memang suka panas, tak boleh kena hujan lama. Jadi saya tanam dalam rumah hijau kos RM100,000, dan Alhamdulillah juga dapat bantuan geran RISDA RM60,000,” katanya.

Hasilnya ialah pendapatan mencecah sekitar RM15,000 sebulan tetapi bagi Nur Taufiq, kepuasan sebenar ialah melihat pokok tin yang dulunya hanya lima, kini berkembang menjadi ladang rezeki.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan