KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Mohd Khalid tiba di istana berkenaan pada 9 pagi dan menandatangani buku tetamu sebelum mengadakan pertemuan dengan Tun Musa di Dewan Kunjungan Khas.
Pertemuan berlangsung selama kira-kira 20 minit dan diakhiri dengan jamuan pagi di bilik santapan istana.
Ia merupakan kunjungan hormat pertama Mohd Khalid ke atas Tun Musa selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 20 Jun lepas.
Mohd Khalid ketika ditemui pemberita berkata pertemuan itu turut membincangkan isu keselamatan dan kestabilan negeri Sabah.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa terbuka untuk memastikan kestabilan politik dan keselamatan Sabah agar sentiasa aman dan damai untuk semua rakyat negeri ini," katanya.
Mohd Khalid berkata PDRM bukan hanya memastikan keselamatan melibatkan isu domestik tetapi juga isu antarabangsa khususnya di kawasan perairan negara.
Beliau berkata sebarang isu yang melibatkan perairan dengan negara jiran seperti Filipina dan tuntutan oleh China juga setakat ini berada dalam situasi 'menang-menang' yang dibincangkan dengan baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial