Ad Banner
 AM > BERITA

Peruntukan RM100,000, Usaha Kerajaan Tingkat Taraf Hidup Warga Felda - Ketua Peneroka

11/08/2025 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff menyifatkan peruntukan RM100,000 kepada setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), sebagai usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup warga peneroka.

Beliau berkata peruntukan tersebut boleh dimanfaatkan oleh setiap kampung untuk pembangunan jangka panjang yang dapat menjadi sumber pendapatan kepada penduduk rancangan Felda.

“Peruntukan (seumpama) itu sebelum ini telah diberikan kepada kampung-kampung tradisional, namun susulan perbincangan antara Pengerusi Felda (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) rancangan Felda turut dimasukkan dalam inisiatif itu.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri telah bersetuju untuk perluas kepada semua 317 rancangan Felda di bawah konsep Sejahtera MADANI,” katanya kepada pemberita di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sulong Jamil berkata terdapat kampung khususnya kampung tradisional di 317 rancangan Felda telah menerima dana tersebut, dan manfaatnya termasuk membangunkan projek inap desa dan membeli peralatan pertanian seperti traktor atau dron, bergantung kepada keperluan setempat.

Bagaimanapun beliau menasihati setiap kampung supaya menggunakan peruntukan itu secara telus bagi memastikan tiada isu ketirisan dan projek bebas daripada unsur rasuah.

Terdahulu pada majlis perasmian Karnival MK3D 2025, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Felda, untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Anwar berkata pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

Mengenai penyahsenaraian FGV Holdings Berhad (FGV) daripada Bursa Malaysia, Sulong Jamil menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan warga Felda yang menyuarakan perkara itu sebelum ini.

Beliau berkata usaha tersebut berupaya membawa Felda kembali landasan asal penubuhannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan