ALOR SETAR, 2 Ogos (Bernama) -- Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan melaksanakan pelarasan kadar tarif menerusi kajian Mekanisme Penetapan Tarif bagi semua kategori pengguna di Kedah dengan mengambil kira kos perbelanjaan operasi (OPEX) dan kos perbelanjaan modal (CAPEX) syarikat.
SADA dalam kenyataan memaklumkan pelarasan kadar tarif itu berkuat kuasa semalam dan akan mula dicaj pada bil September ini.
“Pelarasan kadar tarif itu merupakan satu keperluan yang penting bagi pihak operator air dalam memastikan kelestarian bekalan air di negeri ini kekal terjamin dalam jangka masa panjang.
"Ia juga berhubung kait dengan usaha berterusan SADA untuk menambah baik mutu perkhidmatan melalui pembinaan projek infrastruktur air yang sedang rancak dilaksanakan kerajaan negeri dan SADA sendiri," menurut kenyataan itu.
Menurut SADA antara fokus utama termasuk penggantian paip lama dan uzur yang menjadi punca utama isu air tidak berhasil (NRW) selain pelaksanaan beberapa projek loji rawatan air (LRA) baharu antaranya LRA Pelubang, LRA Kodiang Fasa 1, LRA Padang Saga Fasa 4 dan 5, LRA Sidam Kiri Fasa 1, LRA Sungai Karangan Fasa 1 serta pembinaan loji kompak di Kulim Hi-Tech bagi menangani isu ketidakcukupan air.
SADA memaklumkan kerja-kerja pembaikan sistem agihan dan rumah pam turut giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang dihadapi di beberapa kawasan.
“Pertambahan kutipan hasil daripada pelarasan kadar tarif itu akan digunakan untuk menampung kos pengoperasian, pembaikan dan penyelenggaraan sistem sedia ada, membangunkan sistem bekalan air baharu yang lebih mampan dan efisien, menambah baik kualiti perkhidmatan termasuk keupayaan SADA dalam menyelesaikan aduan pengguna dengan lebih cepat dan menurunkan kadar NRW di Kedah.
“Pelarasan ini turut mengambil kira keperluan untuk menampung kos operasi syarikat bagi 2025 yang meningkat sebanyak enam peratus, merangkumi pelbagai komponen utama termasuk kos elektrik, emolumen, caj air mentah serta bahan kimia yang digunakan dalam proses rawatan air,” menurut syarikat itu.
Menurut SADA, pelarasan kadar itu telah melalui proses kajian yang menyeluruh bersama pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan dilaksanakan secara berperingkat agar tidak membebankan pengguna.
"Pendekatan yang diambil berkenaan adalah seimbang dengan mengambil kira antara kemampuan pengguna serta keperluan operator air untuk menampung kos operasi syarikat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial