KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Thailand dan Kemboja memilih Malaysia sebagai lokasi rundingan damai kerana keyakinan terhadap kestabilan politik serta kemajuan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebagai negara sahabat, Malaysia berbangga dapat membantu menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu sekali gus memastikan rantau ini terus aman dan stabil.
“Kita bangga sebagai negara sahabat, kejayaan Malaysia menyelesaikan perang antara dua negara. Bayangkan, mereka setuju di Kuala Lumpur. Kali pertama kita dapat damaikan peperangan dua negara di Kuala Lumpur," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit dijangka tiba di Kuala Lumpur esok, bagi mengadakan perbincangan terperinci dalam usaha mencari penyelesaian konflik yang melanda kedua-dua negara itu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta, susulan mesyuarat khas diadakan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar.
Pada mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai turut mencapai persetujuan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata itu.
Anwar berkata kejayaan ini telah menjadikan Malaysia dikenali di persada dunia hingga menarik perhatian pemimpin global termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghubunginya bagi mengucapkan penghargaan atas usaha Kuala Lumpur menyelesaikan konflik tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia turut mendapat perhatian dan penghargaan daripada pemimpin pelbagai negara termasuk Jerman, Perancis serta kalangan negara Asia lain.
"Pelbagai usaha dilakukan. Saya hubungi Presiden Trump, Presiden China Xi Jinping dan akhirnya kita minta (berunding), kedua-duanya (Thailand dan Kemboja) setuju. Bayangkan mereka bagi kepercayaan kepada kita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial