Ad Banner
 AM > BERITA

Jalur Gemilang Terbalik: KPM Tunggu Hasil Siasatan, Akan Ambil Tindakan Tegas - Fadhlina

03/08/2025 06:41 PM

KOTA BHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan hasil siasatan berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata kejadian itu membabitkan isu besar yang telah berkali-kali diingatkan kepada semua pihak mengenai kepentingan dan sensitiviti bendera negara.

“Kita (KPM) sedang tunggu siasatan penuh, tetapi saya ingin tegaskan sebaik sahaja kita terima laporan lengkap, kita akan mengambil tindakan setegasnya.

“KPM telah berulang kali mengingatkan tentang sensitiviti, tanggungjawab dan komitmen dalam mempamerkan Jalur Gemilang, justeru insiden seperti itu sepatutnya tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Pelajar Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 Peringkat Kelantan di sini hari ini.

“Saya tegaskan kita mengambil sikap yang cukup tegas dalam soal berkaitan kesalahan mempamerkan Jalur Gemilang kerana kita tidak mahu semangat sambutan Hari Kebangsaan tercemar dengan perkara seperti ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SJKC Chung Hua memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan, Jumaat lepas.

Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, pihak sekolah itu meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada petang 1 Ogos apabila seorang pekerja sekolah memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun tanpa disedari satu daripadanya dipasang secara terbalik.

Sementara itu, mengenai perkembangan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, Fadhlina berkata KPM komited memastikan proses siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus demi keadilan kepada semua pihak terlibat.

"Kita beri jaminan siasatan kes ini akan dipercepat dan tidak ada sebarang kelewatan daripada pihak KPM. Kes ini adalah keutamaan kami.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi tidak ada siapa yang akan dilindungi berdasarkan siasatan itu dan kita akan memberi sepenuh perhatian untuk melaksanakan semua tindakan yang sewajarnya dan pastinya juga berdasarkan hasil siasatan," katanya.

Hari ini, kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan siasatan perlu dilakukan secara telus dan mendalam.

Perdana Menteri dilapor berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan dilakukan segera dan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah, 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan