Ad Banner
 AM > BERITA

Tujuh Peserta Tilawah Perdengarkan Bacaan Di MTHQA Ke-65 Malam Ini

03/08/2025 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Sebanyak tujuh peserta tilawah akan memperdengarkan bacaan sempena hari kedua Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini.

Peserta Mozambique Zacarias Nuro dijadualkan membuka tirai majlis diikuti qariah dari Brunei Amal Nazirah Haji Asmat, qari Filipina Jassim Bacarat Hadji Daud serta qari dari Iran Mohsen Ghasemi.

“Turut memperdengarkan bacaan ialah qari dari Turkiye Muhammed Yahya Yildizhan, qariah Algeria Nour Imane Aissani dan qariah Singapura Nurfaqihhah Aliyah Mohd Rizal,” menurut catatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di laman Facebook.

Terdahulu pada sesi pagi, dua peserta Malaysia Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini telah memperdengarkan bacaan masing-masing bagi kategori Hafazan.

Enam lagi peserta dalam kategori sama ialah Fahad Saeed S. S. Al-Qeraisi (Qatar), Najway Ali Zaydan Alkourbu (Libya), Mohamedelamin Elsuni Shaikheldin Elnaeim (Sudan), Abdul Rahman Ali (Ghana), Azizatou Bah (Ivory Coast) dan Mahamadou Doucoure (Mali).

MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos ini dengan tema “Membangun Ummah MADANI”, menghimpunkan seramai 71 peserta dari 49 negara.

Pemenang kategori Tilawah bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM30,000 dan RM20,000, selain barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata JAKIM dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIP) akan menganjurkan MTHQA#QuranHour 2025 pada 2.30 petang esok bersempena dengan MTHQA

“Kemuncak MTHQA#QuranHour 2025 melalui sesi Pesan Tokoh akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pukul 3.50 petang pada tarikh dan lokasi yang sama (WTC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata MTHQA#QuranHour 2025 merupakan kempen berimpak tinggi dengan objektif menggalakkan interaksi dengan al-Quran untuk dibaca, difahami dan diamalkan.

Beliau berkata MTHQA#Quranhour kali ini mengangkat tema ‘Bangkitnya Sebuah Bangsa Bukan Sekadar Pada Lantangnya Suara, Tetapi Pada Jiwa Yang Hidup Dengan Nilai al-Quran’.

“Bagi edisi Quran Hour kali ini, Surah As-Saff, dipilih sebagai surah utama untuk dihayati. Surah As-Saff adalah surah pilihan dan signifikan dalam usaha menyeru umat Islam agar bersatu dalam satu barisan yang kukuh dan teguh,” katanya.

Menurutnya lagi antara personaliti yang akan bersama dalam program tersebut adalah barisan Qari yang pernah memenangi MTHQA sebelum ini antaranya Johan Qari MTHQA 2014 Husaini Mahmur, Johan Qari MTHQA 2011 Amirahman Abas dan Johan Qari MTHQA 2019 Syeikh Mo’min Falah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan