Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Berpotensi Jadi Hab Agromakanan Negara Di Bawah RMK13

04/08/2025 09:04 AM

Oleh Afifitri Muhammad

KUANTAN, 4 Ogos (Bernama) -- Pahang berpotensi muncul sebagai hab agromakanan utama negara susulan pelaksanaan Hab Pengeluaran Makanan Pantai Timur yang diumumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Baidzawi Che Mat berkata kedudukan strategik Pahang yang merangkumi lebih separuh wilayah Pantai Timur menjadikannya lokasi ideal bagi merancakkan industri makanan negara.

Menurutnya pembangunan hab berkenaan akan menjadi pemangkin pelaburan domestik dan asing, membuka peluang pekerjaan serta mengukuhkan rantaian nilai agromakanan dari ladang ke pasaran.

“Sebagai contoh, Belanda yang bersaiz hampir sama dengan Pahang berjaya menjadi pengeksport kedua terbesar hasil pertanian dunia. Dengan perancangan strategik dan pendekatan mampan, Pahang mampu muncul sebagai pusat agromakanan utama negara,” katanya kepada Bernama di sini.

Baidzawi berkata hab berkenaan akan dilengkapi Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) yang dijangka memberi manfaat langsung kepada petani tempatan, sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

“Langkah ini menyokong usaha memperkukuh rantaian nilai sektor agromakanan dari huluan ke hiliran, selain menarik pelaburan dan menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pertanian,” katanya.

Baidzawi berkata lokasi CPPC yang berhampiran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut dijangka mempercepat penghantaran hasil pertanian ke pasaran domestik dan antarabangsa, seterusnya meningkatkan daya saing serta pendapatan petani.

Beliau berkata hab itu turut menyasarkan pengeluaran tanaman bernilai tinggi seperti durian, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.

Menurutnya pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bawah RMK-13 membuka ruang kepada pembangunan projek agromakanan di kawasan yang sebelum ini terdedah kepada banjir tahunan.

Sebagai langkah proaktif, ECERDC menjalinkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi memetakan kawasan berisiko banjir dan mengenal pasti zon pertanian bebas banjir menggunakan pendekatan berasaskan data dan teknologi angkasa.

“Ini akan membolehkan pelaksanaan zon pengeluaran makanan yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof dr Mohd Faizal Jamlos mencadangkan penggunaan teknologi geospatial seperti dron bagi menghasilkan pemetaan terperinci kawasan pertanian menggunakan model Digital Elevation Model (DEM) atau Digital Terrain Model (DTM).

“Maklumat ini penting untuk mengenal pasti kawasan rendah dan tinggi. UMPSA mempunyai kepakaran dalam teknologi pencerapan dan pemprosesan data ini,” katanya.

Mohd Faizal berkata pembangunan hab itu adalah pelaburan strategik kerajaan bagi merangsang ekonomi tempatan dan menjamin bekalan makanan negara, namun memerlukan ekosistem terancang bagi menarik minat pelabur, pemain industri dan usahawan tani.

Antara insentif yang dicadangkan termasuk pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pada kadar kompetitif, penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air serta tenaga alternatif, selain khidmat nasihat pasaran dan kesesuaian tanaman.

“Insentif cukai, pinjaman boleh ubah serta geran tunai atau barangan daripada kerajaan juga mampu merancakkan penyertaan industri,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK-13 di Parlimen baru-baru ini turut mengumumkan pewujudan hab pengeluaran makanan bersepadu dan berdaya saing di Kelantan, Pahang dan Terengganu bagi menjana ekonomi baharu, khususnya buat penduduk desa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan