Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Perpaduan Negara Akan Runding Pengecualian Cukai Untuk Aktiviti Perpaduan - Aaron

04/08/2025 01:04 PM

KUDAT, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara akan berunding dengan Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mempertimbangkan penyediaan insentif pengecualian cukai kepada syarikat menyumbang secara langsung kepada aktiviti perpaduan di peringkat komuniti.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata langkah ini diharap dapat mendorong lebih banyak entiti korporat untuk menyalurkan sokongan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat inklusif dan memperkukuh keharmonian masyarakat.

Beliau berkata lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat juga diseru untuk tampil aktif dan berperanan dalam menganjurkan program pembangunan komuniti yang berteraskan perpaduan.

“Integrasi sosial memberikan impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat setempat serta memperkukuh keyakinan antara rakyat terhadap peranan bersama dalam membina masa depan negara,” katanya berucap merasmikan Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 di sini hari ini.

Aaron berkata kerjasama rentas sektor ini penting untuk mewujudkan perpaduan mampan dan berkesan dalam semangat Malaysia MADANI.

Beliau berkata perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi merupakan usaha kolektif seluruh rakyat termasuk sektor korporat, masyarakat sivil, dan komuniti setempat.

"Dalam semangat Malaysia MADANI, kerjasama rentas sektor ini adalah kunci kepada pencapaian ekosistem perpaduan yang mampan dan berkesan," katanya

Sementara itu, program kayuhan tersebut  melibatkan perjalanan selama 15 hari, merentasi jarak lebih 1,500 kilometer dari Tip of Borneo di Tanjung Simpang Mengayau di sini hingga ke Teluk Melano, Sarawak.

Program itu memfokuskan tiga teras utama iaitu Agenda Perpaduan dan Integrasi Nasional, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), dan Semarak Bulan Kebangsaan 2025.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan