Ad Banner
 AM > BERITA

Ab Rahaman Dilantik Ketua Polis Johor Berkuat Kuasa Hari Ini 

04/08/2025 03:23 PM

JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman CP Ab Rahaman Arsad, dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini. 

Ab Rahaman, 58, anak jati Johor yang berasal dari Kulai menggantikan Datuk M. Kumar, 56, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, ketua-ketua polis daerah serta warga IPK Johor. 

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut memakaikan pangkat CP (Komisioner Polis) kepada Ab Rahaman.

Abdul Aziz dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kumar atas khidmat cemerlang beliau selama lebih 18 tahun di Johor, sambil menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ab Rahaman untuk meneruskan kecemerlangan di negeri itu. 

“Saya percaya Ab Rahaman adalah calon yang tepat sebagai Ketua Polis Johor dan kita di Bukit Aman meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap kemampuan beliau,” katanya. 

Ab Rahaman memulakan kerjaya dalam pasukan PDRM pada 1989 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di IPK Negeri Sembilan dan Kedah. 

Sementara itu, Kumar yang menyertai PDRM pada 1 Disember 1991 dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Ketua Polis Johor menyatakan keyakinan terhadap kemampuan penggantinya.

“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPK Johor, kepimpinan kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, badan bukan kerajaan dan pengamal media atas sokongan padu yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Johor,” katanya. 

Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor antara SP Shanthi dan Salwah Mahdan yang disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan