Ad Banner
 AM > BERITA

Konvoi KMJG 2025 Tiba Di Pulau Pinang

04/08/2025 04:41 PM

NIBONG TEBAL, 4 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 diteruskan ke Pulau Pinang hari ini dalam misi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Pengarah Penerangan negeri Hasmiza Hussin berkata sebanyak 40 kenderaan pelbagai agensi menyertai konvoi kali ini melibatkan penyertaan 100 individu diketuai Jabatan Penerangan (JaPen) Pulau Pinang.

Beliau berkata agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penyiaran Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Pos Malaysia. 

Turut menyertai konvoi itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta kumpulan bermotosikal Kelab Permotoran Northern V-Storm Owner (NVO).

“Konvoi akan menempuh perjalanan kira-kira 170 kilometer selama dua hari bermula hari ini dan akan singgah di beberapa ‘checkpoint’ di lima daerah di Pulau Pinang, dengan Masjid Jamek Sungai Acheh di Seberang Perai Selatan menjadi lokasi pertama persinggahan sebelum diteruskan ke lokasi lain seterusnya ke Daerah Seberang Perai Tengah.

“Esok konvoi akan bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung, kemudian ke Daerah Timur Laut dan berakhir di Seberang Perai Utara sebelum konvoi diserahkan kepada Kedah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Konvoi KMJG 2025 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh Datuk Rashidi Zinol di Masjid Jamek Sungai Acheh di sini hari ini.

Terdahulu, Hasmiza menerima penyerahan konvoi KMJG dari Perak, diketuai Pengarah JaPen negeri Yosri Abu Mahsin.

Sementara itu, wakil Kelab Permotoran NVO yang juga koordinator NVO Penang Norshaheezam Ahmad berkata tahun ini merupakan kali kedua mereka menyertai KMJG melibatkan 20 motosikal. 

Beliau berkata pihaknya menyokong penuh program sedemikian untuk bersama-sama menyampaikan mesej kemerdekaan kepada masyarakat, di samping menghayati erti sebenar merdeka.

Rashidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri pula berharap seluruh rakyat Pulau Pinang terutama di kawasan Sungai Acheh terus menyuburkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis serta kediaman masing-masing, selain mengenang kembali kepayahan pejuang terdahulu bagi memerdekakan Malaysia daripada penjajah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan