Ad Banner
 AM > BERITA

Rumah Ngaji Gerakan Cinta al-Quran, Perkukuh Kesatuan Ummah

05/08/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Program Rumah Ngaji yang dijayakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) telah berkembang menjadi satu gerakan rakyat dengan menyemai kecintaan terhadap al-Quran sebagai asas pembangunan jiwa dan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Program Rumah Ngaji sejak lebih sedekad lepas berjaya melibatkan ramai sukarelawan yang bekerja tanpa bayaran demi cinta kepada al-Quran.

“Tahniah dan syabas kepada seluruh warga penggerak Rumah Ngaji dari utara, selatan, pantai timur hingga ke Sabah, Sarawak termasuk yang di institusi pendidikan, masjid, balai komuniti, rumah sendiri, bahkan ada yang hanya di halaman rumah dan di ruangan kecil tetapi jiwanya besar,” katanya.

Mohd Na'im berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Beliau berkata pendekatan tadabur al-Quran yang diperkenalkan YWUI bukan sekadar membaca atau memahami terjemahan, tetapi menghayati maksud sebenar setiap ayat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dianggarkan 1,000 peserta dari seluruh negara mula berkampung sejak 7 pagi tadi bagi mengikuti pengisian program itu, antaranya sesi wacana ilmiah selain turut menyaksikan pengerak Rumah Ngaji ALA Kubang Golok, Bachok, Kelantan Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad dipilih sebagai Tokoh Rumah Ngaji 2025.

Sharifah Mastura mengasaskan Rumah Ngaji ALA pada 2018 bagi memberi peluang kepada isteri nelayan dan petani setempat mempelajari al-Quran secara percuma.

Ketika ditemui Bernama, Sharifah Mastura berkata pemilihannya adalah untuk seluruh ahli Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan yang bersama menggerakkan usaha mengangkat al-Quran.

“Makin hari, makin ramai yang sertai program ini lebih-lebih lagi dengan keterlibatan dan sokongan pihak kerajaan. Secara tidak langsung membuka mata masyarakat di Malaysia untuk bersama dengan gerakan Rumah Ngaji ini,” kata ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan