PORT DICKSON, 6 Ogos (Bernama) -- Langkah kerajaan untuk memperluaskan penawaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz adalah terbaik dalam membentuk profesional tahfiz yang berkemahiran.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ia sekali gus dapat melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang cemerlang secara menyeluruh dari pelbagai aspek.
"Alhamdulillah ini merupakan satu pendekatan yang sangat berhikmah dan bersungguh-sungguh untuk memperkasakan pelajar tahfiz menerusi TVET dan inovasi daya cipta yang selari dengan konsep Maqasid Al-Shariah.
“Kita nak lihat para huffaz ini mempunyai kemahiran, ada kerjaya profesional dan pada masa sama mempunyai akhlak baik yang boleh memberi pengetahuan agama kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penutup Nadwah Mahasiswa Timur Tengah 2025 di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perkasa program TVET MADANI dan Dana Latihan TVET bagi menggalakkan penyertaan belia.
Beliau berkata penawaran program TVET juga akan turut diperluas kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata program Nadwah Mahasiswa Timur Tengah selama tiga hari yang merupakan anjuran kali kedua itu disertai 200 mahasiswa Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan, Maghribi, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu.
Beliau berkata ia bertujuan untuk berdialog secara langsung bersama mahasiswa mengenai konsep kepimpinan MADANI selain ilmu perundangan serta kenegaraan dalam menghadapi cabaran geopolitik dunia serta ekonomi masa kini.
"Alhamdulillah kita nampak kefahaman mereka ini (kepimpinan MADANI) semakin baik kita mahu membuatkan mereka sama-sama menyokong usaha gagasan MADANI yang sebenarnya dalam mencipta tamadun Malaysia berasaskan Maqasid Al-Shariah," katanya.
Beliau berkata ilmu dan pengetahuan yang ada pada mahasiswa terbabit akan menjadi lebih sempurna dengan pemahaman konsep minda MADANI yang lebih menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial