Ad Banner
 AM > BERITA

91 Penduduk Kampung Togudon, Penampang Terima Geran Di Bawah Program Pantas

06/08/2025 04:24 PM

PENAMPANG, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 91 penduduk Kampung Togudon di sini menerima geran tanah masing-masing melalui Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), kata Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata penyerahan geran yang meliputi keluasan sebanyak 157.37 hektar merupakan fasa pertama penyerahan daripada pengukuran keseluruhan 982 hektar yang disukat di bawah Program PANTAS.

“Saya maklum dengan isu pemilikan tanah oleh penduduk Kampung Togudon yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya. Sebaik dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, isu pemilikan tanah itu antara yang terawal saya selesaikan.

“Selepas mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akhirnya kita telah memulakan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS ini pada Ogos tahun lepas, dan hari ini fasa 1 penyerahan geran tanah telah dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah itu di kampung berkenaan hari ini.

Beliau berkata penyampaian geran tanah itu sekali gus menamatkan penantian berpuluh tahun penduduk di kampung berkenaan.

“Saya yakin ini akan membuka era baharu kepada aktiviti ekonomi di kampung ini khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan desa,” katanya.

Penyukatan tanah di bawah Program PANTAS di Kampung Togudon adalah yang pertama dilaksanakan di Penampang hanya selepas Ewon menjadi Ahli Parlimen Penampang.

Ewon berkata beliau beriltizam untuk memperluas penyukatan tanah di beberapa kampung lain seperti Kampung Moyog, Kampung Rugarding dan Kampung Kibunut. 

“Saya telah membangkitkan di Kabinet Persekutuan keperluan meneruskan Program PANTAS ini dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030. Saya gembira kerana ini telah dimasukkan dalam RMK13 sepertimana dibentangkan oleh Perdana Menteri di bawah agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

“Saya akan terus mendapatkan sokongan Ketua Menteri supaya Program PANTAS diperluas di kawasan yang saya wakili, iaitu Penampang dan Kadamaian kerana sebahagian besar peruntukan untuk ini disediakan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan