PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bakal menumpukan kepada aspek kesaksamaan wilayah dalam usaha reformasi bagi memastikan manfaat penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam diperluas melangkaui agensi Persekutuan dan pusat bandar.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pendekatan itu melibatkan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan pada peringkat daerah dan tempatan, iaitu penglibatan kerajaan secara langsung dengan rakyat.
“Dengan pembinaan kapasiti dan menyelaraskan keutamaan pada peringkat akar umbi, kita menyasarkan untuk mengurangkan jurang perbezaan wilayah serta meningkatkan kecekapan bertindak balas dengan cepat dan positif institusi awam di seluruh negara,” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada syarahan perdana bertajuk "State Capacity and Directed Growth: A Mission Oriented," oleh pakar ekonomi Prof Mariana Francesca Mazzucato di sini hari ini.
Usaha reformasi kerajaan dirangka bagi membolehkan pertumbuhan yang lebih terarah dalam sektor awam yakni mampu menjadi peneraju dan bukan sekadar pengikut.
Shamsul Azri berkata kerajaan berhasrat untuk menginstitusikan mekanisme berpacukan data bagi memastikan kecekapan dan akauntabiliti pada setiap peringkat melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
"ARPA akan menginstitusikan penggunaan data secara menyeluruh dan memastikan kecekapan melalui pelaksanaan papan pemuka prestasi, sistem pemantauan masa nyata serta penilaian rangka kerja berasaskan ‘demerit’ bagi menjamin akauntabiliti pada setiap peringkat.
“Mekanisme itu bakal dilengkapi dengan penyelarasan berasaskan misi, iaitu langkah berani untuk menyelaraskan kementerian dan agensi ke arah matlamat nasional bersama seperti peralihan hijau, keterhubungan digital dan daya tahan sosial,” katanya.
Pada sidang media selepas majlis berkenaan, Shamsul Azri berkata beberapa penyesuaian bakal dilaksanakan bagi menambah baik Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030.
“Ia akan ditambah baik. Kebanyakan perkara telah pun ada dalam PIKAS, tetapi kita perlu menyesuaikan semula dan membuat sedikit penyelarasan," katanya.
Sementara itu, Mazzucato dalam syarahan perdananya menggesa kerajaan memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk pasaran bagi mencapai pertumbuhan yang adil dan mampan daripada sekadar membetulkan kegagalan pasaran.
Pendekatan tradisional tidak lagi berupaya untuk menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidaksamaan.
Beliau turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan dasar yang berpacukan misi dengan matlamat jelas serta kerjasama merentasi sektor bagi membolehkan sektor awam memainkan peranan keusahawanan dan bukan sekadar mengurangkan risiko pelaburan sektor swasta.
Mazzucato turut menyeru pembentukan norma baharu kerjasama awam-swasta berteraskan timbal balik, selain membina semula keupayaan dalaman dan menggalakkan inovasi yang inklusif.
Syarahan perdana anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) itu dihadiri pegawai kanan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial