JOHOR BAHRU, 6 Ogos (Bernama) -- Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencapai satu lagi kejayaan penting menerusi pelancaran projek M Grand Minori, pembangunan sulung dalam siri premium M Grand di negeri Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif Mah Sing Datuk Voon Tin Yow berkata projek tersebut yang dianggarkan mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion, telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan. Fasa pertama Menara A yang merangkumi 843 unit pangsapuri servis telah mencatatkan kadar pengambilan sebanyak 90 peratus hanya dalam satu hujung minggu.
Beliau berkata pembangunan bercampur kediaman dan komersial bertanah bebas itu dibangunkan di atas kawasan seluas 5.99 ekar di Taman Pelangi, kawasan kejiranan yang sudah matang. Ia juga terletak secara strategik kira-kira tiga kilometer dari stesen Bukit Chagar, yang akan menjadi sebahagian daripada Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura.
“Lokasi strategik berhampiran Stesen RTS Bukit Chagar bakal menyediakan sambungan terus selama lima minit ke Woodlands North, Singapura, sekali gus berpotensi memenuhi permintaan yang semakin meningkat hasil peningkatan hubungan rentas sempadan.
Di samping itu, kami turut melihat peningkatan minat terhadap kediaman yang menawarkan ciri-ciri penambahbaikan, keselesaan serta pengalaman hidup yang lebih eksklusif. Siri M Grand dibangunkan khusus untuk memenuhi jangkaan tersebut, sekali gus membolehkan kami menarik lebih ramai pembeli rumah dan kekal relevan dalam landskap pasaran yang sentiasa berubah,” katanya pada majlis pelancaran Galeri Jualan M Grand Minori Johor Bahru hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Mah Sing James Lim Chee Meng, berkata projek ini dirancang dalam dua fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
Fasa pertama merangkumi podium runcit dan dua menara pangsapuri servis, dengan keluasan binaan antara 403 hingga 835 kaki persegi.
“Projek ini menawarkan pelbagai susun atur unit, termasuk studio, unit satu hingga tiga bilik tidur, serta unit terpilih dengan konsep dwikunci.
Ia turut menawarkan unit separa berperabot, yang sesuai untuk pembeli yang ingin terus berpindah masuk, golongan profesional, pelabur, serta penghuni rentas sempadan yang mengutamakan kemudahan, mobiliti dan akses ke pusat bandar,” katanya.
Lim berkata projek ini direka bentuk untuk memenuhi keperluan gaya hidup penduduk bandar masa kini yang bijak, berhubung dan serba mudah, dengan menyediakan 41 kemudahan, termasuk kolam infiniti, gimnasium, ruang kerja bersama, dek yoga, dewan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak.
Projek ini turut menampilkan ciri-ciri mampan, seperti lorong tempat letak kereta ekspres, sistem tadahan air hujan, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta sistem pengumpulan sisa automatik.
Lim turut memaklumka projek ini telah menerima pensijilan GreenRE, selaras dengan komitmen Mah Sing terhadap kecekapan tenaga dan reka bentuk mesra alam.
“Ciri-ciri ini memberikan keseimbangan sempurna antara waktu santai dan produktif, di samping menyokong gaya hidup lebih lestari untuk para penghuni,” kata beliau.
Menurut beliau setiap perincian telah dirancang dengan teliti untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman kediaman. Podium runcit yang disediakan pula direka bentuk bagi melengkapi dan memperluas suasana makanan dan minuman yang sudah matang di pusat Taman Pelangi.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata syarikat telah bertapak kukuh di Johor selama 25 tahun, dan dikenali sebagai pemaju berpengalaman dengan pemahaman mendalam terhadap pasaran tempatan.
“Selain itu, kami telah melaksanakan pelbagai projek di bahagian utara, selatan, timur dan barat Johor. Kini, menerusi M Grand Minori, kami kembali ke tengah dan nadi Johor,” ujarnya.
Galeri Jualan M Grand Minori, yang terletak di Taman Pelangi, kini dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 9.30 pagi hingga 9 malam, menampilkan konsep pembangunan menerusi unit pameran dan model berskala.
Untuk maklumat lanjut, pembeli yang berminat boleh menghubungi 07-291 3226 atau melayari laman web rasmi di http://m-grandminori.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial