BERITA TERGEMPAR | Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | |
JITRA, 6 Ogos (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH) di sini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan lapan gangsa dalam pertandingan Matematik di Korea Selatan, baru-baru ini.
Guru Besarnya Mafezzul Mohamad berkata sebanyak 15 murid sekolah itu menyertai pertandingan yang diadakan sempena program International Youth Exchange Korea 2025 di Daejin University, Yangju City, Seoul pada 24 Julai hingga 29 Julai lepas.
“Alhamdulillah ini amat kita banggakan kerana secara tak langsung mengharumkan nama sekolah, secara khususnya nama negeri Kedah dan seterusnya nama Malaysia. Ia melibatkan penyertaan dari pelbagai negara … ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mafezzul berkata pencapaian itu sekali gus menunjukkan keberkesanan program Dual Language Program (DLP) bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang dilaksanakan di sekolah berkenaan.
Sekolah itu juga pernah dinobatkan pasukan terbaik keseluruhan bagi kategori Sains sekolah rendah pada Pertandingan Matematik dan Sains Dunia (WMSC) 2024 di Bogor, Indonesia tahun lepas.
“Kejayaan yang kita capai juga adalah hasil keberkesanan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan di sekolah ini, bukan sahaja olimpiad Matematik tetapi kita juga menumpukan kepada pembangunan pasukan robotik sekolah,” katanya.
Sementara itu, guru pengiring Nor Shazwani Ahmad berkata setiap murid diberikan latihan intensif menjawab soalan Matematik selama beberapa minggu sebelum menyertai pertandingan berkenaan.
Guru Sains dan Matematik itu berkata pihaknya turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) menerusi aplikasi ChatGPT dalam membantu murid-murid mendapat pemahaman dan kaedah terbaik menyelesaikan soalan.
“Selalunya dalam pertandingan Matematik soalan-soalan yang dikemukakan belum dipelajari oleh pelajar sekolah rendah kerana ia berada dalam sukatan pelajaran pada peringkat sekolah menengah, jadi agak sukar untuk diajar kepada murid sekolah rendah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial