Ad Banner
 AM > BERITA

PKENPs Akan Guna Pendekatan Baharu Tingkatkan Pendapatan - MB Perlis

06/08/2025 06:02 PM

KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Perancangan dan hala tuju Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) akan menggunakan pendekatan baharu dalam usaha meningkatkan pendapatan perbadanan itu, kata Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Sehubungan dengan itu, Mohd Shukri berkata perniagaan PKENPs bukan hanya tertumpu di Perlis sahaja tetapi menjangkau di luar negeri itu, seperti diceburi Johor Corporation (JCorp) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“… dengan Ketua Pengurusan baharu akan menggunakan pendekatan baharu bagi meningkatkan pendapatan PKENPs, mengurangkan hutang PKENPs serta memastikan PKENPs terus berdaya saing dengan menceburi bidang perniagaan yang mampan,” katanya dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Megat Hashirat Hassan (PN-Pauh) yang ingin tahu perancangan dan hala tuju PKENPs dengan pengurusan terbaharu supaya lebih berdaya saing di dalam dan luar Perlis.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata perancangan projek dan pelaburan PKENPs antara tempoh tiga hingga lima tahun akan datang merangkumi Projek Khas dan Komersial serta Projek Komuniti dan Sektor Pembuatan sama ada di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), kawasan perindustrian sedia ada di Pauh Putra, Arau dan Padang Besar serta melalui pewujudan kawasan perindustrian baharu di Kuala Perlis.

“Projek dan pelaburan PKENPs akan dilaksanakan di empat kawasan tumpuan utama, iaitu Kangar, Padang Besar, Kuala Perlis dan Arau selari dengan Rancangan Struktur Negeri 2040,” katanya.

Beliau berkata perbadanan itu merancang membuat pembangunan, antaranya hospital wanita dan kanak-kanak serta pusat berpantang di kawasan Kangar selaras dengan penetapan kawasan itu sebagai pusat pentadbiran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan