KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa tiada ruang untuk tindakan buas (hooliganism) atau keganasan dalam sukan terutamanya bola sepak memandangkan tingkah laku itu bertentangan dengan semangat kesukanan.
Beliau berkata sukan sepatutnya berperanan sebagai satu kuasa yang menyatukan rakyat Malaysia dari semua latar belakang dan tidak harus dinodai dengan tingkah laku tidak terkawal atau memecah-belahkan
"Semua orang menyokong pasukan mereka atau negeri atau wilayah mereka, tetapi itu tidak membolehkan mereka untuk membuat huru-hara dan mengamalkan hooliganism. Jadi kita akan melakukan perubahan. Jangan ambil budaya samseng itu dalam sukan seperti yang anda baca dan lihat serta tonton di televisyen daripada pengalaman negara lain," katanya dalam ucapan semasa majlis pecah tanah Olympic House di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Anwar berkata semangat dalam sukan adalah biasa namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mewajarkan tingkah laku yang bertentangan dengan semangat kesukanan.
“Orang menangis apabila menang dan mereka menangis apabila kalah...ini bermakna anda tidak boleh menafikan keghairahan (dalam sukan). Tetapi ia tidak membolehkan mereka mengambil tindakan yang bertentangan dengan semangat kesukanan,” katanya.
Beliau berkata toleransi yang lebih besar diperlukan kerana tidak bertoleransi bertentangan dengan semangat sukan iaitu mengenai menyatukan orang ramai, menerima perbezaan dan berkongsi semangat yang mendalam.
Anwar turut menekankan peranan unik semangat kesukanan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia merentasi kaum dan menyatakan bahawa nilai-nilai tersebut sering tiada dalam politik.
"Dalam politik tiada semangat kesukanan. Politik adalah tempat anda menjatuhkan antara satu sama lain...tetapi ia hanya ada dalam sukan, bukan dalam budaya, bukan dalam seni, bukan dalam persaingan ekonomi.
"Tetapi dalam sukan, ada istilah yang dikenali sebagai semangat kesukanan yang bermaksud anda mesti bekerja keras, cuba untuk berjaya dan menang tetapi mesti juga menerima (hakikat) bahawa lelaki, wanita atau pasukan terbaik yang akan menang. Dan itulah semangat kesukanan," katanya.
Mengimbau sejarah Malaysia, yang adakalanya dicemari permusuhan kaum, Anwar mengingatkan bagaimana sukan seperti bola sepak dan badminton berperanan sebagai kuasa penyatuan yang kuat dalam tempoh sukar itu.
"Tidak kira sama ada dia Melayu, Cina, Dayak atau India, kita menganggap mereka semua rakyat Malaysia. Dan itulah yang saya rasa kita perlu promosikan. Tetapi sudah tentu, kita juga perlu berjaya.
"Jadi semua orang ternanti-nanti, di bawah Hannah dan kini dengan Norza (Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria), iaitu kita mengharapkan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada Sukan Olimpik. Jika tidak, mereka akan menghadapi masalah," katanya berseloroh.
Menurut Anwar beliau juga sering menasihati cucunya yang kadangkala kecewa selepas tewas dalam permainan seperti catur atau bola sepak.
"Saya kata, saya beritahu mereka bukan itu caranya. Tentunya hendak menang, tetapi semangat kesukanan, istilah kesukanan ialah istilah yang sarat nilai. Anda mesti cuba yang terbaik, anda cuba dan berjaya, tetapi anda menerimanya dengan semangat kesukanan," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial