Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Tuan Rumah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN Bulan Ini

07/08/2025 06:10 PM

GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) Ke-19 pada 18 hingga 22 Ogos ini sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Baharuddin Wan Md Nor berkata ANCM merupakan forum penting yang menghimpunkan panglima tentera laut dari semua negara ASEAN untuk membincangkan aspek keselamatan, keamanan dan kestabilan di laut rantau ini.

"Sebahagian besar daripada negara anggota ASEAN ini berkait rapat dengan maritim, jadi isu keselamatan dan kestabilan di laut itu penting.

"Bersempena dengan ANCM terdapat beberapa acara sampingan turut diadakan bersama Hari Buletin 4.0 di Padang Kota Lama pada 17 Ogos ini, antaranya ASEAN Navies’ City Parade (ANCP)," katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Baharudddin berkata ANCP akan melibatkan perarakan oleh kontinjen dari negara ASEAN yang diwakili anak-anak kapal, dan pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa persatuan serta sekolah di Pulau Pinang untuk turut memeriahkan acara tersebut. 

Selain itu, beliau berkata ASEAN Fleet Review akan dianjurkan pada 21 Ogos yang dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib sebagai tetamu kehormat dalam acara berkenaan.

"Ini satu lagi acara yang penuh tradisi dan istiadat ketenteraan, jadi kita seru masyarakat setempat khususnya yang berada di Pulau Pinang dan negeri sekitarnya untuk turut hadir serta menyaksikan acara yang cukup bersejarah dan meriah," katanya.

Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”, melambangkan aspirasi untuk membimbing blok serantau berusia 58 tahun itu ke arah masa depan yang lebih bersatu, dinamik, dan mampan.

Sementara itu, Chow berkata tahun ini, Hari Buletin dianjurkan bersama TLDM sebagai antara usaha meraikan perpaduan maritim serantau dalam suasana yang muhibah dan patriotik sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik dirancang termasuk ANCP yang diadakan bersempena ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) 2025, selain persembahan dan demonstrasi armada maritim dari ASEAN termasuk Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut, Tentera Laut Diraja Thai, Tentera Laut Myanmar dan Tentera Laut Vietnam serta persembahan kawad senyap dan persembahan pancaragam TLDM.

"Penganjuran Hari Buletin bertujuan meraikan pembaca akhbar rasmi kerajaan negeri, Buletin Mutiara yang menjadi wadah rakyat dalam mendapatkan informasi mengenai dasar kerajaan negeri, rangkuman program kemasyarakatan dan berita tempatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan