Ad Banner
 AM > BERITA

MYSA Kukuh Kerjasama Strategik Sektor Perikanan Melalui Naik Taraf Sistem FSI

08/08/2025 04:48 PM

PASIR PUTEH, 8 Ogos (Bernama) -- Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bagi Projek Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan (FSI).

Kerjasama yang bermula sejak 2007 itu disahkan semalam melalui pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah MYSA Datuk Azlikamil Napiah, Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan DOF Ruzaidi Mamat, Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat dan Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari.

Azlikamil berkata pembaharuan kerjasama itu memperluas skop kepada pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi angkasa dalam sektor perikanan, termasuk pengumpulan dan verifikasi data, penyelenggaraan sistem, dokumentasi serta pemindahan teknologi.

“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk menaik taraf modul Zon Penangkapan Berpotensi (PFZ) Pesisir dan memperbaharui Sistem Penerimaan Data Satelit serta Antena Generasi Baharu,” katanya.

Majlis pertukaran dokumen yang berlangsung di Dewan Serbaguna Penempatan Semula Nelayan Tok Bali sempena Program Komuniti MADANI Nelayan Digital itu turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafei.

Pada majlis itu, kira-kira 350 nelayan dari kawasan sekitar turut berpeluang mengikuti taklimat dan demonstrasi manfaat sistem FSI, satu inisiatif untuk memperkasa komuniti perikanan melalui teknologi angkasa.

Azlikamil berkata FSI dibangunkan secara kolaboratif menggunakan teknologi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi, Sistem Penentududukan Sejagat dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

FSI memanfaatkan imej satelit oseanografi daripada Soumi-NPP, Aqua dan Terra untuk mengesan suhu permukaan laut serta kepekatan klorofil bagi mengenal pasti lokasi berpotensi tinggi untuk penangkapan ikan dengan ketepatan sehingga 94 peratus.

“Hasilnya, nelayan yang menggunakan sistem ini mencatat peningkatan tangkapan sebanyak 30 hingga 50 peratus, di samping penjimatan masa dan kos operasi,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2011, FSI telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 nelayan di seluruh negara, melibatkan 1,257 vesel pukat jerut dan 751 vesel pukat hanyut.

Di Kelantan sahaja, lebih 4,000 nelayan khususnya di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh telah menikmati faedahnya.

Azlikamil berkata modul tambahan seperti PFZ Tuna dan PFZ Pesisir turut diperkenalkan bagi memenuhi keperluan nelayan laut dalam dan pantai.

“Program ini selaras dengan prinsip kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta di bawah aspirasi Malaysia MADANI, dengan matlamat meningkatkan ekonomi komuniti nelayan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata MYSA terus komited memastikan teknologi angkasa dimanfaatkan secara optimum untuk sektor strategik negara termasuk perikanan.

“Dengan kerjasama yang diperbaharui ini, sistem FSI akan terus dipertingkat dari segi keberkesanan, kebolehgunaan dan capaian kepada komuniti nelayan di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan