PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan langkah kerajaan mewajibkan perincian preskripsi ubat dan bil perubatan di fasiliti kesihatan swasta sebagai keperluan mendesak bagi melindungi pengguna daripada caj tersembunyi serta menggalakkan amalan perubatan beretika.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Dr Saravanan Thambirajah berkata langkah itu sama sekali tidak mencabar hak profesional doktor sebaliknya menjamin perkhidmatan kesihatan kekal berteraskan pesakit.
"Beberapa kajian menunjukkan bahawa jika harga ubat dikawal atau ditetapkan harga siling secara maksimum, pengguna boleh menikmati penjimatan antara 40 hingga 50 peratus. Ini membuktikan betapa banyak ruang yang tersembunyi yang boleh ditambah baik kepada kaedah pembayaran harga yang lebih adil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lebih membimbangkan apabila perbelanjaan kesihatan swasta semakin meningkat, baik melalui insurans mahupun bayaran terus daripada pengguna, pengukuhan prinsip ketelusan itu bukan sahaja adil malah penting secara fiskal.
Memetik kajian terhadap pesakit yang dilindungi insurans majikan antara 2016 hingga 2019, beliau berkata caj konsultasi meningkat sebanyak 113.9 peratus manakala kos dan kuantiti ubat menurun.
"Ini menunjukkan strategi keuntungan telah beralih kepada aspek yang tidak mudah dikesan pengguna. Pelaksanaan bil terperinci dapat membendung caj yang tersembunyi ini dan menggalakkan amalan yang lebih beretika," katanya.
Saravanan berkata pengguna terutama golongan warga emas, pesakit kronik dan berpendapatan rendah telah lama menjadi mangsa dalam sistem yang tidak telus.
"Reformasi kerajaan ini mengembalikan hak mereka, mengurangkan amalan pencatutan dan membawa sistem kesihatan kita setaraf dengan piawaian antarabangsa dan ini adalah tindakan berani oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melindungi kepentingan awam daripada cengkaman keuntungan melampau yang telah sekian lama dibiarkan.
"Pendek kata, pelaksanaan mandatori ini bukan sahaja memelihara hak pengguna, malah mengiktiraf penjagaan kesihatan sebagai tanggungjawab sosial dan bukannya urusan perniagaan berasaskan keuntungan semata-mata. Ia sejajar dengan nilai global iaitu ketelusan, keadilan dan akauntabiliti,” katanya.
Kerajaan, menurut beliau, mesti mengekalkan pendirian dalam mempertahankan dasar itu tanpa tunduk kepada tekanan industri.
Saravanan berkata Malaysia sekian lama mengamalkan sistem kesihatan dua aliran iaitu sektor awam yang bersubsidi dan mudah diakses serta sektor swasta yang berasaskan kaedah pasaran iaitu bayaran secara tunai oleh pengguna masih menjadi amalan utama.
"Malah, hampir separuh perbelanjaan penjagaan kesihatan negara berdasarkan daripada poket pengguna, dengan lebih kurang 35 peratus dibayar sendiri oleh pengguna dan situasi ini jelas menunjukkan betapa mudahnya pengguna menjadi mangsa dalam sistem yang tidak telus ini," katanya.
Dari sudut makroekonomi, beliau berkata inflasi kos perubatan di Malaysia melonjak kepada 12.6 peratus pada 2023, iaitu dua kali ganda purata global sebanyak 5.6 peratus yang dipacu oleh caj tidak terkawal daripada sektor swasta.
"Dari segi mikro pula, keadaannya lebih membimbangkan di mana kajian daripada sumber yang boleh dipercayai menunjukkan bahawa harga ubat untuk penyakit biasa di sektor swasta boleh mencecah beberapa hari gaji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial