Ad Banner
 AM > BERITA

PMR 2025 Kelantan: Azniza Hasilkan Enam Jenis Makanan Daripada Cendawan Tiram Kelabu

08/08/2025 06:05 PM

KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Bermula secara kecil-kecilan dengan menanam cendawan tiram kelabu di dalam bongkah cendawan sejak 2018, Azniza Mohamed, 53, kini menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan tanaman itu bagi meningkatkan pendapatan harian.

Azniza berkata pada awalnya dia sekadar ingin mencuba menghasilkan makanan berasaskan cendawan itu memandangkan terdapat lebihan daripada hasil tanaman dan tidak mahu ia membazir begitu sahaja.

Ternyata, usaha itu membuahkan hasil apabila produk makanan itu semakin mendapat sambutan daripada penggemar kerana rasanya yang unik dan sedap.

“Enam jenis makanan yang dihasilkan adalah keropok cendawan, popia cendawan carbonara, nuget cendawan, muruku cendawan, sos pencecah cendawan dan pekasam cendawan.

“Kesemua produk ini dihasil menggunakan cendawan tiram kelabu segar yang saya tanam sendiri di dalam bongkah cendawan dan ia dijual bermula RM5 hingga RM12,” katanya kepada Bernama sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Anak jati Kampung Danan di Selising, Pasir Puteh itu berkata tanaman cendawan tiram kelabu berkenaan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan pada masa akan datang kerana boleh menghasilkan pelbagai jenis produk makanan yang bersesuaian dengan cita rasa dan selera masyarakat.

“Alhamdulillah permintaan sangat tinggi dan Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Berhad turut membantu saya untuk memasarkan produk makanan ini.

“Memandangkan ramai yang menggemari cendawan tiram kelabu ini, saya akan hasilkan sambal dan rendang cendawan pula,” katanya, yang kini menanam 10,000 bongkah cendawan tiram kelabu di rumahnya.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga esok diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan