Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Bincang Projek Pusat Kanser Dalam Mesyuarat MA63 Isnin Ini

09/08/2025 03:30 PM

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) --  Projek cadangan Pusat Kanser Sarawak akan menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan diadakan, Isnin ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata persiapan untuk pusat tersebut sedang giat dijalankan dan koordinasi dengan pihak berkepentingan utama berjalan lancar.

“Kami telah memuktamadkan bahawa pembinaan hospital akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan bukannya JKR Sarawak.

“Semalam, saya juga mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, dan mereka memaklumkan bahawa segala persiapan telah dimuktamadkan. Apabila membina hospital, kita perlu juga mendapatkan pandangan pengguna akhir, iaitu para profesional kesihatan, mengenai keperluan mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Penyebaran Maklumat Nasional Batu Kawah (NADI) di sini hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata beliau bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan menghadiri mesyuarat tersebut di Kuala Lumpur.

Pada 30 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan telah bersetuju membina Pusat Kanser Sarawak di Bahagian Samarahan.

Menurut Anwar, melalui projek tersebut, kerajaan Sarawak mencipta sejarah sebagai kerajaan negeri pertama membiayai projek Persekutuan terlebih dahulu untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan