Ad Banner
 AM > BERITA

PMR 2025 Kelantan Jadi Pentas Perpaduan Melalui Gerakan Bersama Malaysiaku

09/08/2025 05:18 PM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Gerakan Bersama Malaysiaku, sebuah kempen penyatuan rakyat peringkat kebangsaan giat dipromosikan sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Sapian Mamat berkata kempen itu menyeru seluruh warga Malaysia untuk berkongsi gambar dan kisah peribadi mereka sebagai tanda sokongan terhadap semangat kebersamaan dan cintakan negara.

“Penyertaan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman rasmi yang disediakan dengan akses melalui pautan dan kod QR yang telah dikongsi oleh penganjur. Setiap peserta diminta memuat naik gambar, maklumat ringkas dan kapsyen yang menggambarkan latar belakang serta pengalaman hidup mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sapian berkata data yang dihimpunkan akan disimpan dalam pangkalan data khas dan dijadikan koleksi wajah rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata beberapa gambar dan kapsyen terpilih akan diumumkan serta dipaparkan kepada umum pada 16 September bersempena Hari Malaysia dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan paparan turut disediakan melalui laman sesawang https://malaysiamadani.gov.my/.

“Gerakan ini bukan sekadar kempen visual, tetapi satu seruan untuk rakyat menyatakan rasa sayang kepada negara melalui cerita masing-masing.

“Jika kita sayang Malaysia, kita turut serta. Bagi menyokong kempen ini di peringkat negeri, pihak penganjur menyediakan lima unit photobox di lokasi PMR 2025 Kelantan sebagai medium promosi dan penyebaran maklumat,” katanya.

Sapian berkata walaupun orang awam digalakkan mengambil gambar di tempat kerja, tempat belajar atau lokasi harian masing-masing, photobox berfungsi sebagai tarikan visual dan pusat penerangan.

Beliau berkata PMR 2025 Kelantan bukan syarat penyertaan, namun ia memberi peluang kepada rakyat Kelantan memahami dan menyertai gerakan ini dengan pengunjung boleh bertanya secara lanjut di reruai PACU dan pihaknya bersedia membantu menjelaskan kaedah penyertaan.

Sapian berkata penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan tidak terhad kepada lokasi PMR 2025 sahaja, malah gerakan berkenaan dijalankan serentak di seluruh negara sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Berhubung ganjaran, beliau berkata peserta bertuah bukan sahaja berpeluang melihat gambar dan kapsyen mereka dipaparkan pada Hari Malaysia, malah turut berpeluang menerima hadiah menarik yang akan diumumkan nanti.

Sementara itu, pesara polis Mohd Nasir Said, 64, dari Bachok berkata kempen itu baik untuk meningkatkan semangat kebersamaan dan menyemarakkan patriotisme melalui penyertaan sebegini.

“Semangat menyertai program MADANI ini boleh memacu setiap warga Malaysia menterjemah erti kemerdekaan,” katanya.

Mohd Firdaus Rosshidin, 33, dari Berek 12, di sini berkata minatnya timbul untuk menyertai kempen berkenaan setelah melihat gegantung yang disediakan di luar khemah utama di tapak PMR 2025 Kelantan.

“Saya minat buat kerja foto dan saya akan mencuba nasib menyertai kempen Gerakan Bersama Malaysiaku ini dan berharap ada rezeki buat saya,” katanya.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program itu menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan