Ad Banner
 AM > BERITA

40 Peserta Terima Latihan Kemahiran Jahitan Motif Etnik Sabah Melalui Projek Mama JaRum

09/08/2025 06:00 PM

KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 40 peserta dalam kalangan wanita di sekitar sini menerima latihan kemahiran menjahit motif etnik Sabah melalui projek “Mama JaRum” hasil Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) yang diterajui SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata projek yang bermula dari 15 April 2024 hingga 14 Mei lepas adalah usaha untuk memperkasakan perusahaan mikro ke peringkat yang lebih tinggi.

"Usaha menerusi projek Mama JaRum ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan tetapi juga (menyokong) rangkaian ekonomi di luar bandar," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Projek Perniagaan Inklusif (IB) Rekaan Etnik Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy.

Bernard berkata kerjasama antara SME Corp dan Chanteek Borneo bersama para peserta mampu menghasilkan serta mengetengahkan kesenian etnik di Sabah menerusi jahitan.

Beliau berkata hasil kerja tangan para peserta yang selesai dilatih sebagai ‘Mama JaRum’ itu kemudiannya akan dipasarkan oleh Chanteek Borneo sekali gus dapat meningkatkan ekonomi golongan sasar.

Sementara itu, Pengarah Urusan Chanteek Borneo Anne Antah berkata SME Corp telah memberi kepercayaan kepada syarikat itu pada tahun lepas untuk menjayakan Projek Perniagaan Inklusif Rekaan Motif Sabah.

Beliau berkata peserta projek itu terdiri daripada golongan wanita sekitar Tuaran, Tamparuli, Penampang serta Kota Kinabalu dengan Chanteek Borneo telah menyalurkan sebanyak RM112,103 kepada mereka sebagai upah menjahit setakat akhir bulan lepas.

Anne berkata kesemua peserta terlibat akan terus bersama Chanteek Borneo selama empat tahun lagi dalam usaha untuk menghasilkan kraf berasaskan tekstil untuk industri pelancongan yang mencerminkan budaya tempatan Sabah.

Beliau berkata aspirasi Chanteek Borneo adalah untuk memperkenalkan kebudayaan Borneo kepada seluruh dunia melalui inovasi dan kreativiti. 

"Melalui inisiatif seperti ‘Mama JaRum’ dengan bantuan dan sokongan agensi kerajaan seperti SME Corp, kita bukan sahaja dapat memelihara warisan budaya Sabah melalui corak etnik tetapi kita juga dapat menghasilkan produk dan kraf berkelas dunia yang benar-benar menggambarkan identiti budaya pelbagai kaum di Sabah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan