KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkasakan penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda dengan menggunakan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
“Usaha ini akan terus dilipatgandakan dengan bersungguh-sungguh demi kepentingan generasi Madani yang berjiwa qurani,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Imam Masjid Nabawi, Madinah, Sheikh Dr Salah Muhammad Al-Budair.
Selain itu, Mohd Na’im berkata agensi hal ehwal agama akan terus menerajui program-program pembangunan al-Quran.
“Sebagai contoh, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini muncul sebagai pusat rujukan unggul dalam bidang tahfiz profesional, melahirkan ribuan huffaz berkaliber yang berbakti kepada nusa dan ummah.
Katanya inisiatif Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz turut diperkenalkan bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menghafaz al-Quran, tetapi turut dilengkapi dengan kemahiran teknikal, keusahawanan dan kemahiran lain.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata MTHQA dengan tema “Membangun Ummah Madani” adalah terjemahan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengangkat martabat umat agar kembali mengungguli khazanah ilmu al-Quran.
“Diharapkan MTHQA yang kali pertama dianjurkan Malaysia pada 9 Mac 1961 akan terus menjadi platform bagi menyatukan ummah,” katanya.
Wakil Malaysia qari Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi muncul johan bagi kategori tilawah manakala bagi kategori hafazan, Usamah Barghouth dari Jerman dan peserta Syria Tasneem Arian Omar dinobatkan sebagai pemenang.
Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000 daripada kerajaan berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selain menerima hadiah iringan dan sijil.
MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial