Ad Banner
 AM > BERITA

Bekas Jurutera Jadi Pengusaha Benih Kantan, Bantu Jana Ekonomi Komuniti

10/08/2025 11:56 AM

TAIPING, 10 Ogos (Bernama) -- Percubaan seorang bekas jurutera, Abd Halim Abd Majid mengusahakan ladang kantan bukan sahaja dapat menjana pendapatan yang stabil, tetapi juga membuka peluang baharu dalam sektor pertanian melalui penjualan benih tumbuhan herba itu.

Abd Halim, 50, yang juga Pengurus Projek Kantan Taiping berkata segalanya bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas apabila beliau mendapat idea daripada pengalaman rakan kongsinya Mohammad Hazwan Mohamad Nor, 45, yang mengusahakan tanaman kantan sejak 15 tahun lepas.

"Ketika itu, kita susah hendak bergerak kerana bimbang dijangkiti penyakit itu, maka Mohammad Hazwan mencadangkan supaya bukan sahaja menanam kantan, tetapi juga memberikan tumpuan kepada penghasilan benih pokok kantan.

"Dia menyarankan saya menyemai benih anak pokok kantan melalui kaedah daripada biji benih atau daripada bunga kantan itu sendiri dan bukannya daripada rizom (pembiakan vegetatif bagi tumbuhan, contoh rizom ialah halia, kunyit dan lengkuas),” katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Pada Mac 2022, percubaannya telah menghasilkan 800 benih pokok kantan yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mencapai ketinggian 20 sentimeter, dan semangatnya semakin berkobar-kobar apabila berjaya mendapatkan pembeli yang memborong 300 anak pokok ketika itu.

"Pada masa itu, baru kami nampak pasaran benih pokok kantan memang mendapat permintaan yang tinggi dan hingga kini kami berjaya mengeluarkan 15,000 anak pokok untuk memenuhi permintaan tempatan,” katanya yang menggunakan platform Facebook untuk memasarkan produk kantan mereka.

Abd Halim berkata benih kantannya kini mendapat sambutan menggalakkkan termasuk pemborong dari luar Perak antaranya Muar di Johor, Gua Musang di Kelantan, Kuantan, Pahang termasuk Kedah dan Perlis.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Akram Larut Matang dan Selama Perak (PEKEBAL) itu berkata apabila permintaan semakin tinggi, pihaknya turut membuka peluang perniagaan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah untuk menambahkan pendapatan.

Beliau menggalakkan mereka untuk melakukan pembenihan dan penjagaan anak pokok kantan dengan memanfaatkan halaman rumah sebagai kebun kecil yang hasilnya kemudian akan dibeli semula oleh pihaknya, dan setakat ini terdapat beberapa keluarga asnaf yang berjaya mengusahakan kira-kira 2,000 hingga 3,000 anak pokok.

Abd Halim berkata setiap benih pokok yang dijual berharga antara RM3.50 hingga RM60 bergantung pada saiz dan umur anak pokok dan mereka mampu menjual 400 hingga 500 benih seminggu.

Beliau berkata jualan melebihi 40,000 benih pokok berjaya dicatat sepanjang 2023 dan kini permintaan untuk pokok – yang bunganya sering menjadi pelengkap rasa dalam masakan tradisional seperti asam pedas, laksa dan kerabu – masih tidak mencukupi.

"Sekarang saya sudah hasilkan produk sambal bilis bunga kantan yang diusahakan penduduk tempatan dan setakat ini sambutan amat menggalakkan, menjadi harapan saya agar produk ini dapat menembusi pasaran luar negara satu hari kelak," katanya.

Sementara itu, Mohammad Hazwan berkata pokok kantan dianggap antara tanaman herba yang mudah dijaga dan kurang risiko penyakit, namun cabaran terbesar ialah faktor cuaca panas dan kos input yang meningkat.

"Dengan penjagaan rapi, pokok kantan boleh mengeluarkan bunga dalam tempoh 12 hingga 14 bulan selepas ditanam jika pokok mendapat air yang mencukupi. Apabila pokok berusia 40 hari, tanah perlu digembur dan air perlu dijaga untuk memastikan lembapan yang mencukupi," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak dan agensi terlibat yang membantu pihaknya memastikan industri tanaman benih kantan terus diperkasakan.

"Saya harap lebih banyak belia menyertai tanaman kantan daripada membiarkan tanah lapang tanpa diusahakan … setidak-tidaknya mampu menjana pendapatan sampingan dan pada masa sama memastikan permintaan pasaran dapat dipenuhi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan