Ad Banner
 AM > BERITA

MCMC Turunkan 2,033 Iklan Produk Tidak Dibenarkan Setakat 1 Ogos - Teo

10/08/2025 12:31 PM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 2,033 iklan berkaitan produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi lain sejak awal tahun ini sehingga 1 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, tindakan itu dibuat susulan 2,283 aduan yang diterima pihaknya dalam tempoh berkenaan, dengan usaha penurunan iklan berkenaan telah dilaksanakan sejak 2022.

“Pada 2022, MCMC menerima lapan aduan dan menurunkan kesemua iklan berkaitan. Pada 2023, sebanyak 439 aduan diterima dan 390 iklan diturunkan. Bagi 2024, MCMC menerima 3,312 aduan dan menurunkan 1,643 iklan dalam talian yang tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Festival 2025 peringkat negeri Johor di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Teo berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan KKM berhubung iklan ubat atau perkhidmatan kesihatan palsu memandangkan kementerian itu mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti kes berkenaan.

“Apabila kita menerima aduan daripada KKM, MCMC  akan memaklumkan kepada penyedia platform media sosial untuk menurunkannya sekiranya iklan itu tidak dibenarkan.

“Namun, jika aduan diterima daripada orang awam, contohnya melibatkan ubatan palsu, pihak kami akan merujuk kepada KKM untuk pengesahan sebelum tindakan lanjut dibuat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan